Mesyuarat Umno ditunda kerana
kunjungan presiden China, AS
Umno menganjak tarikh akhir mesyuarat cawangannya dan menetapkan tarikh
baharu untuk persidangan peringkat bahagian, tiga sayap, hari penamaan
calon dan pemilihan parti.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan Presiden parti Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas
menerima permintaan daripada cawangan dan bahagian.
Mereka
mencadangkan demikian kerana mesyuarat cawangan berlangsung semasa
Ramadan dan Syawal, manakala pada bulan Oktober ini yang diperuntuk bagi
persidangan bahagian dan pemilihan parti, menyaksikan kunjungan
Presiden China Xi Jinping dan
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke
negara ini, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Tengku
Adnan berkata susulan itu, pengurusan Umno bersetuju tarikh akhir
mesyuarat cawangan dilanjut kepada 15 Sept daripada 31 Ogos sebelum ini,
manakala persidangan bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi
(MT) dianjak daripada 5 kepada 19 Okt.
Tarikh pendaftaran calon
MT pula diubah daripada 7 kepada 28 Sept, manakala penamaan calon untuk
tiga sayap akan diadakan pada 21 Sept.
Persidangan tiga sayap yang dijadualkan pada 28 Sept dianjak kepada 12 Okt, kata Tengku Adnan.
"Pihak pengurusan Umno sudah memaklumkan kepada anggota MT berkenaan perkara ini," katanya.
Sebanyak
146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian akan
terlibat dalam pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga
naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa
bahagian.
Malaysiakini