Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan agar
sejarah kemerdekaan negara ini dikaji dan ditulis semula kerana mendakwa
terdapat fakta yang tidak jelas berhubung perkara itu.
Beliau
berkata penulisan semula itu perlu dilihat dari aspek gambaran sebenar
peristiwa kemerdekaan memandangkan terdapat perbezaan pendapat dalam
kalangan para sejarawan dan ahli akademik mengenainya.
"Sejarah
itu adalah suatu perkara atau kejadian yang telah berlaku berdasarkan
fakta-fakta mengapa ia terjadi...tetapi ada kalanya penelitian ahli
sejarah mengenai punca peristiwa itu berlaku berbeza.
"Perbezaan
inilah yang perlu diperjelaskan. Sebagai contoh, asas kemerdekaan negara
bermula daripada gerakan penentangan Malayan Union pada tahun 1946
namun ada juga orang kata asas kemerdekaan itu bermula apabila British
memerdekakan negara-negara jajahan mereka di Afrika dan ia diperluaskan
kepada negara-negara jajahan mereka yang lain," katanya.
Abdul
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan
Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor serta melancarkan
Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Kompleks Setiausaha
Kerajaan Negeri, hari ini.
Katanya penulisan semula sejarah itu
perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab agar boleh dijadikan sebagai
rujukan bagi semua peringkat termasuk di sekolah.
Malaysiakini