MELAKA - Biarpun sudah dibersihkan, namun pembinaan kubur baru untuk
melakukan upacara pemujaan masih aktif di Pulau Besar oleh mereka yang
mempercayai amalan khurafat berkenaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin
Bani berkata, ia berikutan penemuan sembilan kubur palsu di kawasan
tapak perkemahan di pulau berkenaan.
“Kubur baru di atas tapak bekas Kubur Tujuh Beradik yang dibina semula
dengan struktur simen dan tanah dipercayai dikunjungi individu Muslim
dan bukan Muslim pada waktu malam hingga awal pagi.
“Kebiasaannya mereka melakukan upacara pemujaan menggunakan colok,
lilin, limau, air mawar dan setanggi selain turut meletakkan bunga di
atas kubur-kubur tersebut,” katanya.
Rahimin berkata, kesemua kubur itu kemudian diratakan semula bagi
mengelakkan ia dijadikan lokasi individu yang berhajat mencari jodoh,
memperoleh tuah, membuang sial dan mendapatkan nombor ekor.
“Hasil maklumat dan aduan orang awam, sembilan kubur itu dibersihkan
sepasukan 30 pegawai dan anggota penguatkuasa Jaim dengan kerjasama
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan polis, kira-kira 9 pagi
semalam (kelmarin).
“Hasil pemeriksaan pihak di kawasan itu mendapati satu daripada kubur
itu bukan saja bersaiz panjang namun turut diletakkan dengan batu nisan
lama tanpa lama selain berbau setanggi,” katanya di sini, semalam.
Rahimin tidak menolak kemungkinan amalan khurafat dan menjurus kepada
syirik itu sudah dilakukan individu tertentu di kubur terbabit sejak
awal Aidilfitri lalu.
“Semua kubur itu dipercayai dibina beberapa individu sejak Aidilfitri lalu dan upacara pemujaan dilakukan pada waktu malam.
“Operasi yang berakhir jam 1 petang itu turut membawa kepada penemuan
satu kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham
Datuk Haji Noh yang diikat dengan kain kuning,” katanya.
Beliau berkata, selain batu nisan itu, sebuah tabung khas yang ditemui
kira-kira 300 meter daripada lokasi tersebut turut disita untuk siasatan
lanjut.
Sinar Harian