VP PAS: Tak logik guna surau untuk meditasi
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengesyaki wujud “sesuatu yang tidak
kena” dalam kejadian melibatkan penganut Buddha yang didakwa melakukan
upacara keagamaan kontroversi di sebuah surau di resort di Kota Tinggi.
Katanya, perkara itu perlu disiasat sebaiknnya kerana kejadian berkenaan menimbulkan banyak persoalan.
"Saya
rasa satu penyiasatan harus dilakukan dengan teliti siapa mereka
sebenarnya. Kita tak nak buat tuduhan awal dan mengambil tindakan
berdasarkan emosi.
"(Penjelasan) mereka (peserta upacara)
seperti tidak logik apabila mahu gunakan surau untuk meditasi. Benda ini
macam ada perkara yang tidak kena. Jadi ia perlu siasatan rapi,"
katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau juga berpendapat,
tindakan kumpulan penganut agama tertentu untuk menggunakan rumah ibadat
orang lain merupakan perbuatan yang tidak masuk akal.
"Saya lihat mustahil mereka yang memegang agama-agama lain seperti Kristian atau Buddha, ingin buat acara di rumah ibadah lain.
“Seperti kita, ada ke kita mahu solat di kuil? Macam pelik (kejadian ini)," katanya lagi.
Beliau
merujuk kepada penjelasan pihak pengurusan resort yang didakwa
membenarkan penganut Buddha melakukan upacara tersebut dilaporkan
mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan ia bukan satu kesalahan.
Wakil pengurusan terbabit mendakwa peserta upacara berkenaan mahu menggunakan dewan untuk bermeditasi.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan untuk membenarkan perkara itu pada pendapatnya bukan satu kesalahan.
Menurutnya lagi, beliau berniat untuk "menunjukkan Islam adalah agama sejagat dan bertoleransi".
Kejadian
itu dikesan melalui satu video di Youtube, menunjukkan sekumpulan
individu sedang menyertai satu upacara di lokasi berkenaan.Kumpulan
yang diketuai seorang individu berpakaian berwarna oren tersebut
ditunjukkan berada dalam keadaan duduk mengadap satu objek yang
didirikan dalam di depan, di ruang tengah dalam surau terbabit.
Video
dimuatkan oleh pengguna Youtube yang menggunakan nama 'Sebastianphiu'
itu turut menunjukkan hiasan tulisan dalam bahasa Arab di dinding surau
terbabit,.
Video sepanjang 1 minit 25 saat yang dikesan dimuatkan dua hari lalu kini ditonton lebih 10,000 orang, setakat hari ini.
Malaysiakini