Malaysia tidak memerlukan undang-undang seperti (EO) dan (ISA) - YB Nik Nazmi
SHAH ALAM 2 OGOS : Malaysia tidak memerlukan undang-undang ‘penahanan
untuk pencegahan’ seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) dalam usaha memerangi jenayah kerana ian terdedah
kepada penyalahgunaan akta oleh kerajaan. PKR turut mempertikaikan kononnya sebahagian besar aktiviti jenayah
melibatkan keganasan yang menular akhir-akhir ini dilakukan oleh tahanan
yang dibebaskan selepas pemansuhan EO. Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, hujah yang
dibangkitkan pihak-pihak yang ingin mengembalikan akta-akta tersebut
tidak disertakan bukti kukuh dan jelas yang mengaitkan pemansuhan EO dan
ISA kepada peningkatan kadar jenayah yang makin meningkat.
“Tanpa bukti kukuh, hujah pihak-pihak yang ingin memperkenalkan balik EO dan ISA itu adalah hanya pandangan semata-mata. “Kami juga ingin mempersoalkan, mengapa anasir-anasir jenayah ini
tidak boleh ditahan dan didakwa mengikut ketetapan undang-undang yang
sedia ada?
“Mengapa pihak berkuasa berpendapat bahawa hanya penahanan tanpa
perbicaraan – yang biasanya hanya digunakan pada zaman darurat – boleh
menangani jenayah ganas dan apakah yang menghalang pihak berkuasa
daripada bertindak terhadap jenayah dan penjenayah mengikut ketetapan
undang-undang yang sedia ada?,” soal Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari
ini.
Beliau yang juga Adun Seri Setia berkata, seharusnya kerajaan
memperbanyakkan lagi senarai anggota polis yang mana sumber dan masa
mereka didedikasikan terhadap pencegahan jenayah dan bukannya terhadap
dakwaan selektif berunsurkan politik.
“Malaysia tidak lagi memerlukan undang-undang yang menzalimi dan
memecah belahkan masyarakat kerana undang-undang sedemikian pernah dan
boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk tujuan politik.
“Adalah amat penting untuk rakyat Malaysia menyedari bahawa kadar
jenayah kini yang semakin menular, tidak boleh dijadikan suatu alasan
untuk mengugat hak asasi rakyat dan adalah amat perlu bagi semua rakyat
Malaysia untuk bersatu-padu mendesak kerajaan untuk menjaga keselamatan
dan membela kebebasan rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) selepas memansuhkan EO dan ISA kononnya
sebagai sebahagian daripada usaha transformasinya selain pernah
mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan; namun pendakwaan di bawah
akta tersebut terus meningkat.
Dr Mahathir sokong Anwar jadi PM
-
[image: Mahathir sokong Anwar jadi PM]
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan
sokongan beliau kepada Ketua Umum PKR, Da...