Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan Tantawi 
 
KUALA LUMPUR - Pemuda Pas Pusat hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap himpunan Blackout 505 yang akan diadakan di Padang Merbok, 22 Jun ini.

Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pihaknya menyokong tindakan PR menentang penyelewengan dalam PRU13, 5 Mei lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut menegaskan bahawa Pemuda Pas menerima keputusan pilihan raya yang namun sebarang bentuk penyelewengan akan tetap "dilawan".

"Pemuda Pas sokong gerakan untuk menolak penyelewengan yang dilakukan.

"Kita ikut seperti yang telah diumumkan PR, kalau ada perubahan tempat kita serah pada penganjur," katanya pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, PR telah melancarkan satu himpunan Blackout 505 bagi memprotes keputusan PRU13 yang didakwa sebagai tidak adil dan bersih serta menuntut pimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.

Sementara itu, Nasruddin menambah, isu penyelewengan yang berlaku akan dibanteras tanpa mengira waktu.

"Isu penyelewengan untuk kita bertindak tak ada masa tamatnya," katanya.

SinarHarianOnline