BATU PAHAT - “Kau kenal aku tak?, kau kenal aku tak?,” itulah tengkingan salah seorang daripada tiga suspek yang memecah masuk rumah seorang doktor sebuah hospital di daerah ini di Taman Pantai Baru, awal pagi semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 pagi, doktor berkenaan, Mohd Nooh Sainorudin, 28, sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja dan tiba-tiba sahaja dia diacu objek yang dipercayai pistol dari arah belakang.
Menurut Mohd Nooh, dia yang ketakutan menurut sahaja kehendak dua daripada suspek berkenaan yang bersenjatakan pistol dan parang, yang kemudiannya mengarah menyerahkan semua barang berharga miliknya.
Katanya, sebaik menyerahkan kunci motosikal berkuasa tinggi miliknya di ditolak ke bilik air, selain dihentak dengan pistol di kepalanya, sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Saya terkejut apabila diacu dengan pistol dari arah belakang, dan kemudiannya diarah untuk menyerahkan barangan berharga milik saya.
“Kejadian rompakan ini ia berlaku cukup singkat, kira-kira 10 minit sahaja dan suspek telah berjaya melarikan sebuah kereta Ford Fiesta, laptop, telefon bimbit, 10 utas jam tangan koleksi saya serta dompet yang berisi wang tunai kira-kira RM800.
“Bagaimanpun mereka gagal melarikan motosikal berkuasa tinggi milik saya, apabila gagal membuka kunci pendua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Sinar Harian