Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 2 Julai 2015

Wang RM17,000 lesap ketika solat

Wang RM17,000 lesap ketika solat
 ROMPIN – Seorang peneroka yang singgah menunaikan sembahyang Zohor di Masjid Muadzam Shah selepas mengeluarkan sejumlah wang di sebuah bank di sini, menanggung kerugian selepas cermin keretanya dipecahkan sekitar jam 1.15 petang kelmarin dan beberapa barang termasuk wang tunai hilang.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, kereta mangsa diletak di ruang parkir masjid manakala beliau meninggalkan beg yang mengandungi wang di bawah tempat duduk depan.
 
“Mangsa merupakan seorang peneroka di sebuah Felda sekitar Muadzam Shah telah singgah di Masjid Muadzam Shah untuk menunaikan sembahyang Zohor selepas mengeluarkan wang berjumlah RM17,000 untuk tujuan peribadi.
 
“Selepas selesai menunaikan sembahyang, mangsa keluar masjid dan ketika tiba di keretanya yang diletak di ruang parkir berhampiran tandas lelaki, beliau mendapati cermin kereta pintu depan sebelah kiri telah dipecahkan. Setelah memeriksa mangsa mendapati beg galas yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM, buku bank dan wang tunai RM17,000 yang diletak di bawah tempat duduk depan telah lesap,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurut Zainul, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut dan pihaknya telah melakukan analisis terhadap rakamannya seterusnya terdapat maklumat mengenai suspek kejadian itu.
 
“Polis kini sedang giat berusaha mengesan suspek hasil analisis ke atas rakaman CCTV yang terdapat di masjid itu. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi IPD Rompin di talian 09-4145999,” katanya.
 
Dalam pada itu, Zainul turut menasihati orang awam di luar sana agar tidak meninggalkan barang berharga di dalam kereta walaupun di tempat yang kelihatan selamat seperti di ruang parkir masjid kerana jenayah boleh berlaku di mana-mana pun.
 
“Sebelum kejadian seperti ini berlaku, orang awam perlu sentiasa beringat dan mengambil tindakan proaktif melakukan pencegahan awal sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang sudah pasti mendatangkan kerugian kepada mangsa berkenaan,” katanya.
 
Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2