DUNGUN - “Ummi, malam ni kita nak tidur di mana?” tanya Shahir Amsyar
Mohd Razali, 6, kepada ibunya, Miss Nura Dorlah, 38 apabila melihat
rumah mereka ranap dalam kebakaran di Kampung Padang Pulut Stesen, di
sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tiada sesiapa di dalam rumah kerana Miss Nura dan suami, Mohd Razali Hashim, 37, keluar ke bandar Dungun membeli barangan untuk berniaga di Bazar Ramadan, manakala dua anaknya, Syahira Qistina, 13, dan Shahmil Ashraf, 11, bulan berada di rumah datuk mereka serta tiga lagi ke sekolah.
Akibat kejadian itu, keluarga malang ini bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang tetapi lebih memilukan, segala keperluan dan pakaian raya yang sudah dibeli untuk anak-anak musnah.
Kata Miss Nura, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan ahli keluarga dan bergegas pulang tetapi sudah terlambat kerana semuanya hanya tinggal rangka dan abu.
“Sebaik sahaja menerima panggilan mengatakan rumah kami terbakar, saya dan suami mengekori jentera bomba yang dalam perjalanan ke rumah kami.
“Sampai sahaja di sana, semuanya sudah musnah dan kami hanya mampu melihat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ketika keluar dua anaknya masih berada di rumah, namun mereka bernasib baik kerana ke rumah datuk mereka yang tinggal di kawasan berhampiran.
“Saya ke bandar Dungun untuk beli barangan sebagai persediaan berniaga air pada sebelah petang, tapi tak sangka pula kejadian sebegini akan berlaku.
“Segala barangan berharga dan dokumen penting tak sempat diselamatkan, malah segala persiapan raya juga musnah,” katanya terkilan.
Lebih menyayat hati, anaknya bertanya di mana mereka hendak tidur dan tinggal selepas melihat rumah mereka musnah.
“Dia juga tanya mana pakaian dan kasut raya, sedangkan semuanya sudah tiada,” katanya.
Wang hampir RM10,000 turut hangus
Kata Miss Nura, dia hanya membawa wang tunai dalam jumlah sedikit ketika keluar dan yang ditinggalkan di dalam rumah berjumlah hampir RM10,000.
“Wang itu hasil jualan ketika Ramadan di Bazar Padang Pulut dan jika bulan biasa saya berniaga kecil-kecilan, manakala suami bekerja sebagai buruh atau tukang rumah.
“Memang banyak barangan perniagaan termasuk mesin kuih, peralatan membuat rumah dan peralatan lain berada di dalam rumah, namun semuanya hangus terbakar.
“Selain wang tunai, barangan kemas yang saya simpan turut hangus dan hanya tinggal sisa saja,” katanya.
Keluarga berkenaan kini hilang tempat tinggal dan tiada lagi kemeriahan sambutan hari raya yang diharapkan sebelum ini.
“Buat masa sekarang kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu saya kerana sudah tiada tempat lain untuk dituju.
“Saya memang dah tak fikir raya...tak dapat fikir dan hanya berserah sahaja memandangkan segala persiapan yang dibuat musnah dalam sekelip mata,” katanya.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga menerima bencana itu sebagai ujian dan secara keseluruhan, anggaran kerugian terpaksa ditanggung ialah hampir RM100,000.
Ada yang mendakwa punca kebakaran disebabkan api dapur gas yang lupa ditutup, tetapi Miss Nura juga was-was sama ada dia sudah menutupnya sebelum keluar rumah atau sebaliknya.
“Saya memang ada memasak air gula sebelum keluar rumah tetapi tidak pasti sama ada sudah menutupnya atau belum.
“Rasanya sudah tutup tetapi saya tidak sedar apinya masih ada,” katanya.
Anak berperangai pelik
Sementara itu, bapa tiri mangsa, Sukarno Dollah, 62, berkata, sebelum kejadian, cucunya berusia 11 tahun yang juga anak bongsu mangsa berperangai pelik dan menangis.
“Dia tidak pernah berkelakuan seperti itu tetapi kali ini pelik sebab menangis dan merengek tanpa henti walaupun sudah dipujuk serta diberi susu.
“Hampir sejam juga dia menangis dan sebaik sahaja dia tertidur saya terdengar bunyi percikan seperti mercun dan apabila menjenguk keluar didapati ada api di bahagian dapur rumah anak saya,” katanya.
Katanya, dia dan beberapa lagi penduduk segera menyambung air paip tetapi tidak sempat kerana gas meletup menyebabkan api marak dan memusnahkan rumah dalam sekelip mata.
11 anggota bomba bantu padam kebakaran
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, seramai 11 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.
“Kita terima panggilan pada jam 9.08 pagi dan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 20 kaki × 30 kaki persegi.
“Kemusnahan adalah 100 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
JKM hulur bantuan
Bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan, JKM Dungun segera menghulurkan bantuan.
Penolong Pegawai JKM Daerah Dungun, Ariffin Razak berkata, bantuan segera yang disalurkan kepada keluarga berkenaan berbentuk barangan keperluan seperti tikar, selimut, selimut tebal (toto) dan pakaian.
Katanya, bantuan itu sebagai permulaan supaya dapat memberi sedikit keselesaan kepada keluarga mangsa.
“JKM akan nilai kerugian yang berlaku supaya bantuan rumah dapat diberikan selepas ini menerusi Tabung Darul Iman. Kita akan buat penilaian dan siasatan supaya permohonan dapat dihantar ke ibu pejabat.
“Bantuan rumah untuk keluarga ini mungkin sekitar RM40,000 tetapi jumlah terperinci masih dalam proses siasatan,” katanya.
Kepada sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan sumbangan terus ke CIMB Bank Berhad menerusi akaun 13040044907526 atau 7049452618 atas nama Miss Nura.
Sinar Harian