Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 25 Jun 2015

Kesesakan trafik bangkit kemarahan pengguna jalan raya


Kesesakan trafik bangkit kemarahan

TANAH MERAH - Tindakan pihak berkenaan melakukan kerja pembaikan Jambatan Kusial di Jalan Tanah Merah-Jeli, dekat sini, pada waktu puncak sejak seminggu lalu membangkitkan kemarahan pengguna jalan raya berkenaan.

Kerja pembaikan dimulakan ketika orang ramai mahu ke tempat kerja di waktu pagi dan berterusan sehingga waktu balik kerja pada sebelah petang, menyebabkan pengguna laluan berkenaan terpaksa berdepan kesesakan luar biasa.

Seorang pengguna, Izani Zakaria berkata, pihak bertanggungjawab sepatutnya mengambil kira kepentingan orang ramai dengan tidak melakukan melakukan kerja pembaikan jambatan tersebut ketika waktu puncak.

“Apa salahnya kalau buat kerja di luar waktu puncak atau pun selepas waktu tengah malam ketika jalan ini tidak sibuk dengan kenderaan. Bukannya waktu orang ramai sibuk nak pergi dan balik kerja.

“Kesesakan luar biasa di jambatan ini berlaku dari hari pertama kerja pembaikan bermula, iaitu, dua hari sebelum 1 Ramadan dan berlarutan sehingga hari ini,’’ katanya, semalam.


Menurut Izani, kesesakan lalu lintas di jambatan itu menyebabkan pengguna yang berulang alik antara Machang dan Tanah Merah terpaksa mengambil masa lebih tiga jam berbanding setengah jam sebelum ini.

Jelasnya, keadaan itu menimbulkan pelbagai kesukaran kepada pengguna seperti lewat sampai di tempat kerja sehingga ada yang dipotong gaji, lewat ke sekolah dan membantutkan urusan harian.

“Ada kes orang dari Machang beli tiket bas dengan saya yang sepatutnya menaiki bas di Tanah Merah untuk Perak tetapi terlepas bas kerana terkandas di jambatan ini selama lebih tiga jam,” katanya.

Tambahnya, kegagalan pihak terbabit menyediakan pelan pengurusan trafik yang teratur dan sikap segelintir pemandu memotong barisan menambahkan lagi masalah kesesakan laluan berkenaan.

Tinjauan di lokasi mendapati projek melibatkan kerja membaiki bahagian penyambungan pengembangan (expansion joint) jambatan berkenaan dan kesesakan berlaku sepanjang lebih dua kilometer.

Kerja pembaikan jambatan yang memisahkan Machang dan Tanah Merah itu melibatkan penggantian struktur asal pada bahagian tersebut dengan konkrit dan dijangka siap Sabtu ini.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2