Cari Tajuk Yang Di Cari

Jumaat, 6 Februari 2015

Bapa belasah anak gara-gara rokok

Muhamad Zaki ketika melawat kanak-kanak malang itu yang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, semalam.
SEREMBAN -  Hanya kerana tidak dapat membeli rokok seperti diminta, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditumbuk, ditendang dan dilibas dengan tali pinggang oleh bapanya sendiri dalam kejadian di Taman Jujur, Sikamat, di sini, kelmarin.
 
Kanak-kanak malang itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas melarikan diri ke rumah jiran tidak jauh dari situ sebelum mengadu dirinya dipukul.
 
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa sebelum itu diminta oleh bapanya yang berusia 37 tahun untuk ke kedai runcit bagi membeli dua batang rokok.
 
“Tapi bapa mangsa tidak memberikan wang. Sebaik saja mangsa pulang ke rumah tanpa membawa rokok seperti yang diminta, bapanya telah menumbuk kedua-dua belah pipi mangsa, memukulnya dengan menggunakan tali pinggang dan menendang dada mangsa.
 
“Selepas itu bapanya menghalaunya keluar dari rumah menyebabkan mangsa melarikan diri ke rumah jirannya tidak jauh dari situ untuk mengadu kejadian yang berlaku,” katanya.
 
Menurutnya, pihaknya difahamkan kejadian itu bukan pertama kali berlaku terhadap mangsa kerana bapanya itu sering memintanya membeli rokok dan minyak motosikal tanpa memberi wang, sebaliknya disuruh meminta wang daripada jiran berhampiran.
 
Muhamad Zaki berkata, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik, manakala yang lain berusia sembilan dan tiga tahun.
 
"Yang menghairankan, hanya dia seorang sahaja yang dipukul, tidak abang dan adik perempuannya. Manakala ibu kanak-kanak ini sudah meninggal dunia sejak setahun lalu.
 
“Buat masa ini, dua lagi adik beradik mangsa telah dijaga jirannya dan saya akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tentang soal penjagaan mereka,” katanya yang turut memuji tindakan jiran yang membuat laporan polis selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.
 
Sehubungan itu, katanya, bapa kanak-kanak itu dipercayai seorang penganggur sudah pun ditahan polis, malam kelmarin di hadapan rumahnya dan direman sehingga 11 Februari ini.
 
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang mensabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
 
Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2