SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuat kajian berhubung gaji minimum setiap dua tahun bagi melihat kesan positif dan negatif berhubung pelaksanaan berkenaan terhadap majikan serta pekerja.
Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Faridah Hassan berkata, selain melihat kesannya kepada pekerja, kajian berkenaan juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas majikan.
“Seperti sedia maklum, gaji minimum ini hanya bertumpu kepada kumpulan berpendapatan rendah dan bukan untuk golongan profesional dan menengah serta ia patut dipatuhi majikan.
“Ini merupakan satu langkah bijak daripada pihak kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan rakyat di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum bakal menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan seperti subsidi barangan dan perubatan.
“Pertambahan pendapat akan menyebabkan rakyat negara ini kurang bergantung pada bantuan kerajaan di samping dapat menjimatkan wang pembayaran cukai,” katanya.
Faridah berkata, kenaikan kadar upah yang diterima pekerja akan kembali ke dalam kitaran ekonomi.
“Perbelanjaan untuk makanan, penjagaan anak-anak, perbelanjaan isi rumah yang lain akan meningkat seiringan dengan pertambahan upah mereka.
“Peningkatan ini turut membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana kuasa membeli sebahagian besar pengguna pendapatan rendah meningkat,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan gaji minimum mampu membantu pekerja berpendapatan rendah menghadapi ancaman inflasi.
Tambahnya, kadar pengangguran dan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing juga bakal mencatatkan penurunan apabila majoriti majikan melaksanakan gaji minimum.
“Kebanyakan rakyat kita tidak gemar bekerja di kilang kerana tempoh masa kerja yang panjang serta gaji kecil, tetapi sekarang majoriti kilang di negara ini telah melaksanakan pembayaran gaji minimum.
“Kenaikan kadar upah ini akan meningkatkan produktiviti kerana pekerja akan setia dan memberikan komitmen tinggi setanding dengan gaji diterima,” katanya.
Ramai pekerja akan terjejas jika berlaku kegawatan
Namun begitu, skim gaji minimum yang dilaksanakan kerajaan juga dilihat mungkin memberi kesukaran kepada majikan untuk menurunkan gaji sekiranya berlaku kegawatan ekonomi.
“Apabila kos buruh meningkat, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga meningkat dan menjadi beban kepada majikan, maka ramai pekerja terpaksa diberhentikan.
“Contohnya, jika seorang pekerja dibayar sebanyak RM3,000 sebulan, majikan perlu membayar caruman KWSP sebanyak 12 peratus yang menjadikan jumlah sebanyak RM3,360 untuk setiap pekerja,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan senario itu akan menyebabkan rata-rata majikan menggunakan khidmat pekerja asing yang lebih murah.
“Bagi pekerja asing, majikan tidak perlu membayar levi pekerja asing tetapi memotong secara bulanan dari gaji mereka, dengan ini aliran tunai mengalir keluar negara.
“Majikan kecil akan merasai tekanan peningkatan kos buruh yang kian meningkat dengan caruman yang telah ditetapkan oleh undang-undang yang akhirnya menyebabkan penutupan operasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan sudut daya saing negara, Faridah menyatakan pelabur asing akan mengalihkan modal mereka ke negara-negara yang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah seperti Cina dan Indonesia.
“Ia juga menggalakkan penggunaan lebih banyak tenaga mesin dan teknologi berbanding tenaga manusia," katanya.
Sinar Harian