Cari Tajuk Yang Di Cari

Jumaat, 21 November 2014

Hati ini milik siapa?

Hati ini milik siapa?

DALAM kehidupan seseorang manusia apabila datangnya lintasan hati suci yang dikenali dengan (ilham) daripada ALLAH SWT, ini menunjukkan ALLAH mencampakkan hidayahnya ke dalam hati sanubarinya. Lantas kita dapat berasa sentuhan dan bisikan yang mengajak kita untuk mensyukuri segala nikmat ALLAH yang kita kecapi selama ini.

Inilah yang dikatakan taufik Ilahi yang khusus. Inilah yang dijelaskan ALLAH yang bermaksud: "...Jika demikian, Adakah orang yang telah dilapangkan ALLAH dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya... (Surah al-Zumar: 23)

Nabi Muhammad SAW juga bersabda: "Sesungguhnya nur itu apabila sudah masuk ke dalam hati, maka dia menjadi luas dan lapang. Maka sahabat bertanya kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah SAW: "Adakah terdapat tanda-tanda sebagaimana yang kamu katakan itu untuk kami ketahui. Jawab Baginda SAW: "Ya, ada alamatnya, iaitu menjauhkan diri dari negeri dunia yang penuh tipu daya dan kembali ke negeri Akhirat yang kekal abadi serta bersiap sedia untuk mati sebelum tibanya akal."


Kawan dan lawan

Dalam diri manusia terdapat dua unsur cahaya tauhid iaitu hati dan kegelapan syirik serta keraguan iaitu nafsu. Kedua-dua unsur ini sering bertelagah antara satu sama lain. Dalam keadaan tertentu hati berpihak kepada kemenangan dan ada waktunya nafsu yang menang. Hati mengajak untuk melakukan kebaikan dan nafsu mengajak kepada yang sebaliknya. Hati yang cepat mendapat bantuan nur Ilahi ALLAH ini akan menang dengan menolak kehendak nafsu dan mempertahankan kehendak hati.

Jika perlawanan antara hati dan nafsu masih belum menemui kegagalan dan kemenangan antara satu sama lain, menemui kegagalan dan kemenangan antara satu sama lain, maka segeralah kita menyerah kepada-Nya dan mohonlah kepada ALLAH.

Apabila hati kembali bercahaya dengan ilham ALLAH maka keyakinan akan mengatasi keraguan yang selama ini bersarang di hati. Inilah yang dikatakan kemenangan hati di atas nafsu. Ini  bererti tidak ada lagi hati yang jahil, kabur dan ragu-ragu. Maka timbulnya rasa syukur di atas segala nikmat anugerah ALLAH yang amat berharga.

Dapat nur Ilahi

Nur ketuhanan ini adalah ilmu yang datang secara langsung daripada ALLAH. Nur inilah yang menjadikan hati seseorang tenang, lapang dan bersihnya hati manusia. Nur inilah yang boleh dan mampu membezakan antara yang baik dengan buruk, pahala dengan
dosa, bersih dengan kotor dan sebagainya.

Hilang dan perginya cahaya Ilahi ini akan melindung dan menghalang seseorang daripada menerima kebenaran dan segala kebaikan yang datang daripada ALLAH. Hati  yang bersih daripada segala dosa dan maksiat zahir dan batin akan mendapat cahaya Ilahi.

Datangnya cahaya Ilahi juga perlu dilakukan melalui latihan dan kesungguhan untuk tidak mengikuti hawa nafsu dan syahwat. Setelah penyakit batin ini telah diubati maka hati kita akan bersedia untuk menerima nur Ilahi.

Hilangnya nur Ilahi

Apabila manusia terputus dengan nur Ilahi, maka nafsu akan berperanan untuk mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh agama dan hukum syarak. Maka seseorang itu akan merasai kelazatan akibat daripada melakukan dosa dan maksiat.

Hati yang gelap dipengaruhi oleh nafsu yang diimamkan oleh syaitan dan iblis. Hati tidak akan mampu untuk mencapai kepada kehendaknya, iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH tanpa bantuan daripada ALLAH. Ini bermakna nur Ilahi adalah tentera yang diutuskan ALLAH untuk membantu kehendak hati manusia yang sentiasa berada di atas dua persimpangan. Manakala nafsu pula akan sampai kepada kehendaknya.

Anugerah kemenangan hati adalah al-Basyirah yang menjadi cahaya atau penglihatan kepada hati yang dikenali sebagai mata hati. Keadaan ini sebagaimana juga mata zahir tidak boleh melihat tanpa bantuan cahaya yang menyuluh kepada jalan yang ingin dilalui. Hal yang sama juga berlaku kepada mata hati, ia tidak akan dapat melihat dan mengenali sesuatu hakikat kebenaran yang datang daripada ALLAH. Mata hati perlu kepada cahaya yang akan menyuluh dalam kegelapan.

Kesimpulannya, nur Ilahi tidak akan datang secara percuma. Hasil ketekunan ibadat, sabar dan bersih daripada segala dosa besar dan kecil dan menjauh daripada penyakit hati maka ALLAH pasti akan melimpahkan nur Ilahi-Nya kepada kita.
Sinar Harian.
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2