KUALA LUMPUR - Dalam era kemajuan teknologi komunikasi masa kini, masyarakat khususnya generasi muda mestilah bijak melakukan kawalan kendiri maklumat di alam maya, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi.
Beliau berkata, kebijaksanaan berfikir sangat penting untuk menganalisis dan memahami maklumat yang diperoleh menerusi Internet sebelum menyebarkannya.
Kegagalan berbuat demikian, katanya boleh menyebabkan seseorang individu berkenaan terdedah kepada bahaya dan implikasi yang tidak dijangka, termasuk menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab.
"Dengan teknologi baharu yang lebih terbuka, masyarakat perlu berhati-hati menggunakannya. Penting untuk kita fikir, analisa dan fahami sesuatu maklumat, sebelum kita buat keputusan untuk menyebarkannya.
"Yang penting adalah proses berfikir. Jari tidak boleh lebih pantas daripada otak," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel dalam sesi 'Pengenalan Hyperconnectivity' pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Dalam sesi itu, beliau dan empat anggota panel lain berkongsi pandangan mengenai 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital yang berlaku di seluruh dunia pada setiap masa.
Mohamed Shahril menarik perhatian bahawa SKMM menerima antara 30 dan 40 aduan kes manipulasi gambar setiap bulan, termasuk dimuat naik ke laman-laman lucah.
Komunikasi tanpa sempadan hari ini membolehkan masyarakat memperoleh maklumat tanpa tapisan selain membuka ruang kepada penyalahgunaan media sosial untuk mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos, SKMM menerima 1,225 aduan mengenai salah guna laman sosial.
Sinar Harian