ALOR SETAR - Seorang perokok tegar dari Kampung Tanjung Bendahara, di
sini, sanggup berhenti merokok demi kesihatan cucu lelakinya, Ahmad
Ziyad Rizqi, enam bulan.
Abu Bakar Mohamoni, 68, berkata, dia mula menghisap rokok sejak berusia
15 tahun dan hanya terlintas untuk berhenti merokok Disember lalu.
"Setelah 53 tahun merokok, saya nekad hendak berhenti selepas mengenangkan kesihatan cucu yang baru dilahirkan.
"Masa itu, saya terfikir masa depan cucu kalau dia terus terpaksa
menghidu asap rokok yang saya hisap," katanya ketika Sambutan Hari Tanpa
Tembakau-Nafas Baru Bermula Ramadan 2015 Peringkat Daerah Kota Setar,
di Klinik Kesihatan Simpang Kuala, di sini, kelmarin.
Hadir dalam program berkenaan, Pakar Perubatan Keluarga Klinik
Kesihatan Simpang Kuala, Dr Fazlin Suhana; Ketua Unit Inspektorat
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, Mhd Hussain L Yusof dan
Pegawai Pendidikan Kesihatan PKD Kota Setar, Norejan Nordin.
Dalam pada itu, menurut Abu Bakar, dia mengambil keputusan menyertai
program Klinik Berhenti Merokok anjuran Klinik Kesihatan Simpang Kuala.
"Sokongan penuh daripada keluarga membuatkan saya semakin bersemangat menjauhi rokok.
"Saya bersyukur, sekarang saya berjaya berhenti merokok setelah hampir enam bulan mencuba," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar, Dr Aishah Jusoh
berkata, 15 perokok berdaftar dengan program Klinik Berhenti Merokok
kini berjaya membebaskan diri daripada ketagihan.
Menurutnya, seseorang perokok itu dikategorikan berjaya apabila tidak menghisap rokok dalam tempoh enam bulan.
"Seramai 50 peserta daripada 108 perokok tegar yang berdaftar sejak
2012 aktif mengikuti aktiviti dilaksanakan dalam Klinik Berhenti
Merokok.
"Malah, Klinik Kesihatan Simpang Kuala antara 10 klinik aktif di Kota
Setar yang menjalankan program Klinik berhenti merokok," katanya.
Sinar Harian