KUALA BERANG - Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, di sini,
memohon pihak berkaitan melihat keperluan pembinaan sebuah surau di
kawasan perumahan tersebut sekali gus mempercepatkannya bagi memberikan
kemudahan kepada penduduk setempat.
Difahamkan, taman perumahan itu mula didiami pada 2013 dan berikutan
ketiadaan kemudahan surau di situ, penduduk perlu ke Masjid Pekan Ajil
atau Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang yang terletak kira-kira lima
kilometer untuk menunaikan solat berjemaah.
Setiausaha Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, Abu Talib Nor,
41, berkata, jumlah keluarga di taman perumahan tersebut kini seramai
217 keluarga dan kemudahan sebuah surau sememangnya menjadi satu
keperluan buat mereka kini terutamanya sepanjang Ramadan.
“Permohonan untuk pembinaan sebuah surau atas tanah berkeluasan
kira-kira 0.12 hektar di sini telah pun diangkat kepada pihak berkaitan
sekitar 2013, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan
diterima.
“Sehubungan itu, diharapkan pihak berkenaan dapat melihat keperluan
penghuni. Malah, ia nanti bukan sekadar tempat beribadah semata-mata
tetapi juga sebagai pusat atau lokasi aktiviti khususnya program
keagamaan," katanya.
Katanya, ketiadaan surau turut merumitkan penghuni terutama bagi golongan ibu yang mempunyai anak-anak kecil.
“Kami juga telah membuka akaun untuk mengumpul peruntukan bagi membina surau.
“Mereka yang ingin menderma bolehlah berbuat demikian melalui akaun
Persatuan Penduduk Taman Kirana Kuala Berang di nombor 163037233586
(Maybank),” katanya.
Abu Talib berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu Program Membasmi
Tempat Pembiakan Aedes anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu
dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Kirana, di sini, kelmarin.
Program yang turut disertai Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu,
Dr Noriah Mahmud itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti taklimat
mengenai denggi, senamrobik, pameran kesihatan, gotong-royong membersih
taman serta pertandingan explorace untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
Sinar Harian