Cari Tajuk Yang Di Cari

Selasa, 16 Jun 2015

Kesusahan hidup Terpaksa ikat perut dalam pondok


Terpaksa ikat perut dalam pondok

PONTIAN - Kesusahan hidup yang dihadapi menyebabkan empat beranak di Kampung Serkat Laut di sini terpaksa menghuni sebuah pondok dan mengikat perut.

Alias Awang, 52, berkata  pendapatan sebagai nelayan tidak mencukupi menampung perbelanjaan harian dia kini tinggal bersama anak Mohd Jasman, 27, menantu, Siti Nordiyana Jamil, 22 dan cucu yang kini berusia 6 bulan.

“Kadang-kadang kami terpaksa berlapar kerana tidak punya wang, hasil tangkapan ikan dan udang semakin kurang sejak kerja-kerja pembinaan benteng di Tanjung Piai.

“Suatu masa dulu pak cik pernah berlapar, asalkan ada duit untuk memberi makanan kepada cucu, Siti Nur Shahidah yang berusia 6 bulan,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Prihatin Kempas di Kampung Serkat Laut, di sini, kelmarin.

Jelasnya Alias, dia dan anaknya mencari rezeki sebagai nelayan pantai namun mereka masih tidak mempunyai bot dan terpaksa meminjam dari rakan.

“Sejak berumur 12 tahun, pak cik menjadi nelayan pantai di sini, namun masih belum ada wang yang cukup untuk membeli sebuah bot.

“Mujur ada rakan yang beri pinjam bot itupun jika bot tidak digunakan. Memang susah jika tiada bot sendiri sukar untuk turun ke laut,” katanya.

Tambahnya, kesempitan hidup juga menyebabkan dia tidak mampu mendapatkan sebuah rumah yang sempurna dan terpaksa menumpang tinggal di dalam sebuah pondok.

“Sudah hampir 20 tahun saya tinggal di dalam pondok yang pada asalnya merupakan sebuah pondok rehat.

“Hanya dinding kayu dan bumbung terpakai untuk memperelok keadaan rumah supaya lebih selesa untuk dihuni walaupun ruang agak sempit,” katanya.

Katanya lagi, dia pernah memohon bantuan bagi memperbaiki pondoknya itu, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang jawapan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud berkata, kunjungan yang diadakan ke rumah Alias bertujuan membantu keluarga berkenaan selepas kisah hidupnya yang tinggal di dalam pondok tersebar ke dalam laman sosial facebook.

Jelasnya, pihaknya akan berusaha membantu keluarga tersebut dan merujuk kes keluarga Alias agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan yang sepatutnya.

Sementara itu, Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, keluarga Alias bakal menerima bantuan baik pulih rumah  di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kerja-kerja baik pulih yang akan dilaksanakan Giat Mara akan bermula pada Ramadan ini dan dijangka selesai  sebelum Aidilfitri.

“Bagi jangka masa panjang, keluarga Alias akan dibantu bagi mendapatkan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal di bina di Kukup,” katanya.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2