GUA MUSANG - Ramadan tahun ini mencabar bagi 45 keluarga apabila terpaksa disambut dalam khemah di penempatan sementara mangsa banjir Bandar Utama berikutan rumah kekal mereka yang dibina kerajaan masih belum siap.
Namun mereka tidak kekok menjalani ibadat puasa di khemah berkenaan kerana enam bulan menetap di situ selepas kediaman mereka musnah akibat banjir Disember tahun lalu.
Mereka baki daripada 108 keluarga mangsa banjir sekitar Gua Musang yang masih tinggal dalam khemah berikutan tidak mampu menyewa rumah dan belum ditawarkan berpindah ke kediaman transit di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini.
Tinjauan mendapati tiada khemah besar disediakan untuk 225 penduduk menunaikan solat secara berjemaah termasuk solat sunat tarawih bagaimanapun terdapat sebuah masjid di Kampung Rahmat, 300 meter dari penempatan sementara itu.
Seorang mangsa banjir, Nik Mah Nik Kob, 59, berkata, walaupun ada sedikit tekanan terutama bagi persiapan juadah bersahur dan berbuka berikutan ruangan sempit, namun ia tidaklah menjadi masalah besar.
Katanya, semua mangsa banjir yang masih tinggal di khemah mengambil inisiatif sendiri membina dapur sementara sebagai tempat memasak kerana tidak ada lagi masakan disediakan pihak tertentu seperti sebelum ini.
Malah, katanya, setiap mangsa banjir menggunakan barangan dapur bantuan dan wang baki yang masih ada dalam simpanan hasil sumbangan pelbagai pihak bagi perbelanjaan menyambut Ramadan.
“Kami juga terpaksa jimat berbelanja kerana bimbang wang yang ada dalam simpanan cepat habis dan membebankan pula untuk menunggu sampai Aidilfitri nanti,” katanya.
Hasmah Ismail, 35, pula berkata, bersahur dalam khemah adalah pengalaman pertama selepas kejadian banjir akhir tahun lalu kerana tidak mempunyai tempat lagi untuk tinggal dalam keadaan selesa.
Beliau berkata, nasib semua mangsa banjir menjadi ingatan sepanjang hayat kerana tempohnya juga terlalu lama tinggal di khemah berikutan belum ada rumah untuk dipindahkan.
“Apapun kita sebagai mangsa banjir terpaksa hadapi masalah seperti itu, tetapi tidaklah kekok untuk bersahur kerana sudah biasa dengan keadaan macam itu dengan memasak makanan sekadar yang mampu,” katanya.
Kamarudin Mamat, 40, berkata, walaupun sesetengah mereka menganggap tinggal terlalu lama di khemah sebagai pelarian, tetapi terpaksa terima kenyataan kerana masih menunggu pembinaan rumah kekal dari kerajaan.
Katanya, dia juga tidak akan berpindah ke Kem PLKN walaupun diarahkan berbuat demikian selagi tidak ada jaminan untuk perpindahan kali kedua apabila pelatih PLKN ditempatkan di situ nanti.
“Perpindahan ke kem PLKN itu belum tentu terjamin kami sekeluarga tinggal dalam tempoh sehingga akhir tahun ini kerana menunggu rumah dibina kerajaan,” katanya.
Rosnani Yusoff, 39, pula berkata, dia bersama keluarga tidaklah menganggap tinggal di khemah itu menyusahkan untuk persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Katanya, persiapan menyediakan juadah untuk bersahur awal pagi semalam seperti juga sediakan ketika berada di rumah sebelum kejadian banjir lalu.
“Masakan disediakan tetap ala kadar sahaja kerana tidak mampu menyediakan makanan lebih sedap dan dapur sementara yang dibina juga kurang memberi keselesaan," katanya.
Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusof ketika mengadakan perjumpaan dengan mangsa banjir yang tinggal di khemah itu pagi semalam berkata, memang mangsa banjir yang tinggal di khemah itu sudah melebihi tempoh dijanjikan.
“Apapun kita akan berusaha mempercepatkan pembinaan rumah kekal dan sekarang peringkat penyediaan tapak yang pasti mungkin mereka dapat tinggal di rumah baharu selepas Aidilfitri ini.
“Sebelum rumah itu siap, kita harap mereka dapat berpindah ke kem PLKN untuk keselesaan menyambut Ramadan dan Adilfitri,” katanya.
Sinar Harian