Cari Tajuk Yang Di Cari

Isnin, 15 Jun 2015

Penduduk perlu kemudahan surau

 Penduduk perlu kemudahan surau
KUALA BERANG - Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, di sini, memohon pihak berkaitan melihat keperluan pembinaan sebuah surau di kawasan perumahan tersebut sekali gus mempercepatkannya bagi memberikan kemudahan kepada penduduk setempat.
 
Difahamkan, taman perumahan itu mula didiami pada 2013 dan berikutan ketiadaan kemudahan surau di situ, penduduk perlu ke Masjid Pekan Ajil atau Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang yang terletak kira-kira lima kilometer untuk menunaikan solat berjemaah.
 
Setiausaha Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, Abu Talib Nor, 41, berkata, jumlah keluarga di taman perumahan tersebut kini seramai 217 keluarga dan kemudahan sebuah surau sememangnya menjadi satu keperluan buat mereka kini terutamanya sepanjang Ramadan.
 
“Permohonan untuk pembinaan sebuah surau atas tanah berkeluasan kira-kira 0.12 hektar di sini telah pun diangkat kepada pihak berkaitan sekitar 2013, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diterima.
 
“Sehubungan itu, diharapkan pihak berkenaan dapat melihat keperluan penghuni. Malah, ia nanti bukan sekadar tempat beribadah semata-mata tetapi juga sebagai pusat atau lokasi aktiviti khususnya program keagamaan," katanya.
 
Katanya, ketiadaan surau turut merumitkan penghuni terutama bagi golongan ibu yang mempunyai anak-anak kecil.
 
“Kami juga telah membuka akaun untuk mengumpul peruntukan bagi membina surau.
 
“Mereka yang ingin menderma bolehlah berbuat demikian melalui akaun Persatuan Penduduk Taman Kirana Kuala Berang di nombor 163037233586 (Maybank),” katanya.
 
Abu Talib berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu Program Membasmi Tempat Pembiakan Aedes anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Kirana, di sini, kelmarin.
 
Program yang turut disertai Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Dr Noriah Mahmud itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti taklimat mengenai denggi, senamrobik, pameran kesihatan, gotong-royong membersih taman serta pertandingan explorace untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
 
Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2