Cari Tajuk Yang Di Cari

Sabtu, 31 Januari 2015

Bersabung nyawa untuk ke sekolah

Murid SK Pulau Beluru bersama ibu bapa masing-masing menaiki rakit menyeberangi Sungai Kelantan untuk ke Pulau Teluk Renjuna, Tumpat.

TUMPAT – Tiada pilihan lagi buat kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, selain menaiki rakit yang ditarik oleh penduduk saban hari untuk berulang-alik ke sekolah.

Sejak sebulan lalu, murid-murid sekolah berkenaan terpaksa bersabung nyawa demi menuntut ilmu, selepas jambatan yang menghubungkan Pulau Teluk Renjuna - Pulau Beluru runtuh akibat bah kuning penghujung tahun lalu.

Seawal jam 7 pagi, murid  dari Pulau Teluk Renjuna bersesak menunggu giliran bagi menaiki rakit tersebut untuk menuju ke SK Pulau Beluru yang terletak bersebelahan dan dipisahkan oleh Sungai Kelantan.

Penduduk, Che Esah Abdullah, 56, berkata, sejak jambatan itu runtuh, 1,000 penduduk di kedua-dua pulau berkenaan termasuk murid sekolah berdepan masalah untuk berulang alik setiap hari.

"Sebelum ini, anak-anak boleh pergi sendiri ke sekolah dengan mengayuh basikal. Namun sejak jambatan itu runtuh, ibu bapa perlu menghantar anak-anak ke sekolah menaiki bot atau rakit.

"Rakit itu sememangnya banyak membantu penduduk di pulau ini termasuk murid sekolah tapi perlu ada orang dewasa setiap kali menggunakannya untuk menyeberang sungai kerana ia perlu ditarik dengan tali," katanya.

Menurut Che Esah, rakit berkenaan turut memudahkan penduduk berulang alik ke Masjid Teluk Renjuna bagi menunaikan solat Jumaat dan juga untuk ke Klinik Kesihatan Teluk Renjuna.

Tambahnya, dia bersyukur kerana rakit itu dapat menyelesaikan masalah penduduk yang terputus jalan perhubungan darat, namun tetap berharap jambatan baharu dibina segera.

"Rakit itu hanya penyelesaian sementara. Kalau boleh kami harap jambatan baharu dibina segera kerana tanpa kemudahan itu, sukar untuk kami ke Pulau Beluru dan Pulau Teluk Renjuna," katanya.

Sementara itu, murid SK Pulau Beluru, Siti Haiza Maisara berkata, dia terpaksa turun pada awal pagi untuk menaiki rakit dan seterusnya berjalan kaki sehingga sampai ke sekolah setiap hari.

"Sebelum ini saya boleh kayuh basikal sehingga ke dalam kawasan sekolah. Tapi sejak jambatan runtuh, saya terpaksa naik rakit seawal pagi untuk pergi ke sekolah," katanya.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2