Cari Tajuk Yang Di Cari

Sabtu, 17 Januari 2015

'Pulih dengan izin ALLAH SWT'

Keadaan Wan Rohana November lalu sewaktu beratnya cuma 24kg.
KAMPUNG DURIAN KASIM - Ibu tunggal dua anak, Wan Rohana Wan Mohamad, 34, bersyukur kerana kesihatannya kini beransur pulih berbanding sebulan lalu, malah berat badannya juga meningkat kepada hampir 30 kilogram (kg) berbanding cuma 24kg sebelum ini.

Menurut Wan Rohana, lebih menggembirakan apabila dia bukan sahaja dapat menguruskan diri sendiri, tetapi juga mampu menyediakan sarapan untuk anak-anaknya ke sekolah sebagaimana dilakukannya sebelum ini.

“Segalanya berubah setelah saya menghidap penyakit misteri hingga menyebabkan berat badan susut daripada 42kg kepada 24kg. Hampir lima bulan saya habiskan masa atas katil dengan bergantung pada ibu dan dua anak (Amirul Faizi, 11 dan Fatin Nabila, 8). Hanya ALLAH SWT tahu perasaan saya ketika itu, apatah lagi tubuh saya bagaikan tinggal tulang dan kulit sahaja.


“Bagaimanapun, saya yakin setiap penyakit pasti ada ubatnya. Saya kemudian berubat secara tradisional walaupun pihak hospital memaklumkan saya tidak ada sebarang penyakit. Syukurlah, dengan izin-Nya, penyakit saya kian pulih,” katanya, semalam.

Wan Rohana berkata, walaupun sudah dapat berjalan dan mampu melakukan kerja rumah, tetapi dia masih beringat dan cuba mengelakkan diri daripada terlalu terdedah pada cahaya matahari, tambahan pula mata kirinya turut mengalami masalah penglihatan.

Menurutnya lagi, walaupun jauh di sudut hatinya mahu mencari rezeki secepat mungkin bagi menampung kehidupan dia sekeluarga, bagaimanapun tahap kesihatannya kini belum memungkinkan semua itu menjadi kenyataan.

Sementara itu, ibunya, Siti Aminah Yaacob, 65, mengakui sering menangis apabila melihat keadaan anaknya itu, namun kata-kata semangat tidak pernah lekang di bibirnya agar Wan Rohana sentiasa kuat menempuh ujian ALLAH SWT.

Sinar Harian 13 November lalu turut menyiarkan kisah Wan Rohana yang ketika itu berubah menjadi kurus-kering gara-gara penyakit misteri dihidapinya sehingga menyebabkan berat badannya turun kepada 24kg.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2