Seorang wanita
warga emas ditemui maut, selepas dipercayai dipukul anak kandungnya
sendiri menggunakan tukul besi, di sebuah rumah teres di Taman Cheras
Awana, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi
itu, mangsa yang berusia 75 tahun itu dipercayai melawat suspek yang
juga anak bongsunya di rumah tersebut.
Namun, berlaku pertengkaran menyebabkan suspek mengamuk dan bertindak menghentak kepala mangsa menggunakan tukul besi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang,
Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, suspek yang menghubungi polis
bagi melaporkan kejadian itu, kemudiannya ditahan sebaik sahaja polis
tiba di lokasi jenayah.
“Siasatan awal mendapati, suspek berusia
37 tahun itu dipercayai menghidap penyakit mental, sejak 10 tahun lalu,
akibat kemalangan jalan raya.
“Suspek dijaga oleh ayah dan
abangnya, sementara mangsa (ibunya) tinggal berasingan di rumah kakaknya
di kawasan berhampiran,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
The Rakyat Post