Cari Tajuk Yang Di Cari

Rabu, 14 Januari 2015

Fenomena suka 'shopping' online

Zalora dan Lazada antara medium beli-belah paling popular dan digemari si kaki 'shopping' online. - Gambar Hiasan.
TREND jualan atas talian (online) bukanlah fenomena baharu di Malaysia. Dianggarkan hampir 40 peratus lelaki dan perempuan membeli barangan menggunakan telefon pintar, komputer tablet, komputer riba dan desktop.

Membeli-belah secara online menjadi semakin popular di kalangan rakyat Malaysia mendorong perkembangan luas perniagaan ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bahkan pertumbuhan laman sesawang seperti Zalora dan Lazada turut mempengaruhi trend membeli-belah dan menjadi kegilaan bagi penggemarnya.

Di Malaysia, perniagaan online berkembang  seperti cendawan tumbuh lepas hujan.

Harga online murah

Menurut seorang penggemar online, Hanita Mohamad Tahir, 45, berkata, dia memilih untuk membeli barang secara online sejak tiga tahun lalu.

Bermula dari blog dengan melihat produk mengikut keperluan, kini online merupakan antara medium digunakan untuk membeli produk tertentu.

"Saya memilih online kerana mendapati barang berjenama dan tulen yang dijual menerusi online lebih murah berbanding di butik.

"Sebagai contoh dompet Coach kalau di butik biasa dalam RM700 lebih, tetapi beli di online kita boleh dapat hanya RM350," katanya.

Menurutnya, dalam setahun dia akan membeli antara tiga dan empat kali barangan secara online bagi produk seperti dompet, jam tangan, kamera dan barang-barang kosmetik, mengikut keperluan.

Katanya,  jika diberi pilihan, dia akan memilih online sebagai platform membeli-belah.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan online dan akan membeli online pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohd Fairuz Yusof, 35 berkata, online adalah lokasi membeli-belah yang memudahkan pengguna dan dia sering membuat tinjauan harga sebelum membuat sebarang pembelian.

Setakat ini, saya pilih online kerana harga yang murah.

"Saya memang suka beli online dan saya akan pilih online jika diberi pilihan terutamanya harga yang rendah.

"Kebanyakan barang saya beli seperti jam, jaket, cermin mata dan tempat letak tangan," katanya yang telah berkecimpung sejak dua tahun lalu dalam membeli-belah online.

Menurutnya, dia akan membeli barang yang tidak melebihi RM500 bagi setiap pembelian dan memilih peniaga yang benar-benar dipercayai.

Baru-baru ini, Fairuz mula berjinak-jinak dengan membeli menerusi laman sesawang online seperti Lazada.

"Jika saya berpuas hati, saya akan terus membeli di Lazada," katanya.

Tidak tahan beli online

Berlainan pula dengan Rosmaliza Miswan, 35, dia tidak mampu menahan daripada membeli apa sahaja barangan yang menjadi trend jualan di laman sosial, Facebook.

"Saya akan membeli apa sahaja diinginkan dan banyak dijual di Facebook terutamanya makanan.

"Dari makanan seperti jeruk asam boi, sambal ikan hitam, periuk ajaib dan Tupperware pasti saya akan beli," katanya yang juga berniaga online sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, dia sering melayari internet menyebabkan dia tidak boleh lari daripada melihat produk-produk yang dijual di Facebook.

Katanya, setiap kali melihatnya sudah pasti dia juga ingin memiliki dan mencuba produk, barangan atau makanan itu.

Rosmaliza berkata, dia membeli antara dua atau tiga kali seminggu mengikut jenis barangan sama ada untuk diri sendiri mahupun anak-anak.

Katanya, biasanya anak-anak juga akan meminta dia membeli barangan diminati di Instagram seperti tudung dan barang aksesori lain.

Menurutnya, dalam sebulan dia akan membelanjakan lebih RM500 hanya untuk membeli-belah secara online.

Namun, bagi membeli pakaian dan keperluan lain seperti barangan dapur keluarganya masih memilih untuk membeli di pusat membeli-belah atau pasar raya.

Online akan jadi budaya

Teknologi maklumat (ICT) khususnya transaksi online dijangka menjadi budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia ke arah digital menjelang 2020 hingga 2025.

Fellow Akademik Kanan Kulliyah Teknologi Komunikasi dan Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA, Abdul Rahman Ahmad Dahlan berkata, pada masa akan datang orang ramai akan menggunakan online sebagai medium melakukan apa jua transaksi.

"Sehingga kini, kita sudah menuju ke arah itu dan sudah ramai yang bersedia ke arah berkenaan.

"Dapat dilihat dengan penggunaan telefon pintar lebih daripada satu dan kadar penembusan internet di kalangan pengguna hari ini," katanya.

Menurutnya, ICT akan terus maju ke hadapan dan akan ditambah baik dari masa ke semasa kerana ia akan menjadi keperluan orang ramai.

Katanya, walaupun belum mencapai 100 peratus pengguna yang menuju ke arah online, tetapi yakin ia akan menjadi trend masyarakat pada suatu hari nanti.

Abdul Rahman turut berkata, mungkin pada masa akan datang, pasar raya juga akan menjadi online sebagai medium untuk penjualan produknya sebagai salah satu nilai tambah kepada pengguna.

Nampaknya, membeli belah di online  akan jadi budaya masyarakat tetapi apapun jangan lupa untuk berjimat!

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2