Cari Tajuk Yang Di Cari

Selasa, 27 Januari 2015

Tiga tahun tidur bawah jambatan

Ibrahim membina dangau kecil di bawah jambatan Sungai Gali, Kandis, untuk dijadikan kediaman sejak tiga tahun lalu.

BACHOK - Dia mungkin masih muda berbelas tahun lalu dan tenaganya ketika itu masih kuat untuk bekerja sebagai buruh kontrak di Kuala Lumpur.

Namun usia Ibrahim Mohd Ali kini sudah mencecah 60-an dan tidak lagi berdaya membuat kerja berat, sementelah matanya cedera kerana tercucuk buluh ketika berada di laut suatu ketika dahulu, menyebabkan sebelah daripadanya tidak nampak.

Kini, Ibrahim hanya menjadi nelayan pesisir pantai dan adat orang dagang, dia yang berasal dari Bukit Abal, Pasir Puteh, membawa diri dan membina sebuah dangau di bawah jambatan Sungai Gali, Kandis, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Di situlah dia menumpang berteduh walaupun terpaksa menahan bahang panas pada waktu siang dan kesejukan mencengkam tulang pada waktu malam.

Jambatan itu dipilih memandangkan ia berdekatan sampannya, tambahan pula permohonannya untuk mendapatkan rumah nelayan ditolak dengan alasan dia tidak berkeluarga.

Menurut Ibrahim, dia membuat permohonan bagi mendapatkan rumah nelayan itu atas saranan rakannya yang memaklumkan ramai menolak tawaran berkenaan kerana ada antara mereka tidak memerlukannya.

"Pakcik mohon sebab kawan cadangkan. Pakcik hairan sebab ramai yang boleh dikatakan daripada golongan berada dan bukan nelayan boleh dapat rumah nelayan. Sebab itulah sebelum PRU13 pakcik cuba nasib.

"Pakcik jumpa seorang calon PRU di Bachok, tetapi belum sempat cakap apa-apa dia terus naik kereta dan tinggalkan pakcik. Beberapa hari selepas itu kakaknya datang tanya, apa pakcik mahu, tapi pakcik dah putus harapan dan dah tak percayakan orang politik.

"Pukat yang dia bawa pun pakcik tak mahu dan suruh dia beri kepada orang lain. Beberapa hari lepas pun ada wakil dua parti politik datang jumpa pakcik, tapi pakcik tak mahu menaruh harapan. Pakcik tengok sahaja mereka ambil gambar sebab tak tahu pihak mana boleh tunaikan janji," katanya, semalam.

Katanya, dia juga pernah memohon elaun sara hidup nelayan dan juga bantuan bulanan daripada agensi kerajaan tetapi kedua-duanya ditolak dengan alasan tertentu.

"Tak apalah, selagi ada kudrat pakcik boleh ke laut dan cari rezeki halal. Alhamdulillah, sehingga kini, rezeki ALLAH SWT beri tak putus, walaupun tak dapat ke laut pada musim tengkujuh.

"Pakcik tak tinggal masjid. Orang ajak solat berjemaah, tahlil, solat jenazah dan solat hajat dari semasa ke semasa. Di situlah rezeki pakcik sepanjang musim tengkujuh," katanya.

Tambahnya, sehingga kini dia tidak mampu menjalani pembedahan mata yang cedera berikutan masalah kewangan dan tidak mampu menyediakan kos RM600 yang diminta oleh pihak hospital.

Ibrahim berkata, ketika kejadian banjir akhir Disember lalu, bawah jambatan berkenaan ditenggelami air dan dia terpaksa tidur di jeti berdekatan selama beberapa hari.

"Semua beras dan peralatan milik pakcik dihanyutkan arus deras air banjir. Tak dapat diselamatkan," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan untuk Ibrahim, boleh menghubunginya menerusi talian 018-907 1526.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2