Mesir kembali berdarah
Perhimpunan bertukar ganas selepas tentera melakukan tembakan rambang                                                      
Mesir kembali berdarah
 
KAHERAH - MESIRSekurang-kurangnya 50 maut dan lebih 270 cedera dalam pertempuran antara penyokong Presiden digulingkan Mohamed Mursi dan anggota keselamatan di seluruh Mesir, kelmarin.

Pertempuran tercetus apabila ribuan rakyat negara yang menolak rampasan kuasa cuba untuk memasuki  Liberation Square di Kaherah.

Pegawai kanan Kementerian Kesihatan Ahmed al-Ansari melaporkan, 45 orang meninggal dunia di Kaherah dan beberapa yang lain maut di selatan ibu kota, terutama di Ramsis.

“Angka awal mendapati, hampir 270 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran di seluruh Mesir. Mangsa maut kebanyakan akibat terkena tembakan polis dan tembakan rambang dari pasukan elit,” katanya dipetik Al Jazeera

Dalam kejadian itu, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata sebagai tindakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan Kementerian Dalam Negeri pula mengesahkan, seramai 423 penunjuk perasaan telah ditahan.

Sementara itu, Kumpulan Perikatan Anti- Rampasan Kuasa, termasuk Ikhwan Muslimin menggesa pelajar di seluruh universiti dan sekolah menolak rampasan kuasa.

“Polis dan tentera bertanggungjawab sepenuhnya atas semua kematian rakyat negara ini setiap hari. Turunlah wahai tentera! kami tidak mahu anda berkuasa,” kata wakil kumpulan itu.
 
Sinar Harian