Cari Tajuk Yang Di Cari

Isnin, 2 Disember 2013

KERAJAAN HARAM NAJIB MULA GIGIT RAKYAT MALAYSIA...

 Kerajaan jamin tarif elektrik mampu dibayar

KUALA LUMPUR - Kerajaan terus memberi jamin bahawa semua lapisan masyarakat akan menikmati tarif elektrik mampu dibayar walaupun ia telah menyemak semula harga gas asli untuk Semenanjung.

Ketika mengumumkan tarif baharu itu hari ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata subsidi 16.2 sen setiap kilowatt jam (kWh) akan dikekalkan untuk pengguna domestik yang menggunakan bekalan elektrik dalam kategori 0-200kWh/bulan.

Ini bersamaan 74 peratus purata tarif dalam kategori pengguna.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengekalkan subsidi 14.1 sen/kWh atau 59 peratus daripada purata tarif untuk pengguna domestik dalam kategori 201-300kWh/bulan.

Ongkili berkata demikian ketika mengumumkan semakan tarif elektrik di Semenanjung, Sabah dan Labuan, yang melibatkan pengguna industri dan komersial manakala sejumlah besar pengguna domestik, tidak terjejas.

Purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWh (atau 14.89 peratus) daripada purata semasa 33.54 sen/kWh, kepada 38.53 sen/kWh.

Sejak 1997, katanya kerajaan telah menetapkan harga gas domestik pada tahap lebih rendah daripada kadar pasaran untuk menjamin semua lapisan masyarakat menikmati tarif elektrik mampu dibayar.

Ongkili berkata subsidi itu, atau lebih tepat lagi hasil yang hilang bagi tahun lepas ialah sebanyak RM12 bilion.

"Sebagai rancangan berterusan, rasionalisasi subsidi dan langkah ke arah mekanisme harga gas berdasarkan gambaran pasaran telah dipertimbangkan sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara," katanya.

Di samping itu, kerajaan harus menjamin bahawa syarikat utiliti terus membaiki prasarana bekalan elektrik dan operasi, dan oleh sebab itu mereka perlu menanggung beban kos menjana dan membekal elektrik yang meningkat.

Di Malaysia hari ini, minyak fosil ialah sumber utama bahan bakar untuk menjana elektrik. Di Semenanjung Malaysia, 94.8 peratus daripada campuran bahan bakar berasal dari bahan fosil iaitu gas (51.5 peratus) dan arang batu (43.3 peratus).

Baki campuran bahan bakar itu disumbangkan oleh hidro (4.2 peratus) dan sumber tenaga boleh baharu (satu peratus).


 Tarif elektrik naik tahun depan

KUALA LUMPUR - Subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen. Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen KWJ atau peningkatan 16.9 peratus daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen KWJ kepada 34.52 sen KWJ, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Ketika mengumumkan semakan itu di Parlimen, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Dis 2014.

Beliau berkata ekoran pelaksanaan tarif baharu ini, kerajaan masih perlu menanggung RM14 bilion subsidi setahun melalui pelepasan hasil perolehan gas asli ke atas semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia, termasuk RM2.4 bilion setahun untuk pengguna domestik kurang daripada 300 KWJ sebulan.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM570 juta setahun, termasuk RM155 juta setahun untuk kategori pengguna yang sama," kata Ongkili.

Selaras dengan penyelarasan kadar purata tarif elektrik daripada 33.54 sen/KWJ kepada 38.53 sen/KWJ, beliau berkata kerajaan akan menyelaraskan semula tarif elektrik yang melibatkan pengguna domestik, komersil dan industri.

"Bagi pengguna domestik, purata tarif akan dinaikkan kepada 31.66 sen/KWJ daripada 28.63 sen/KWJ iaitu penyelarasan sebanyak 1.21 sen/KWJ (3.03 peratus).

Purata tarif komersil akan dinaikkan kepada 47.92 sen/KWJ daripada 41.01 sen /KWJ iaitu penyelarasan sebanyak 6.91 sen/KWJ (16.85 peratus), manakala bagi tarif industri, ia dinaikkan kepada 36.15 sen/KWJ atau 5.21 sen/KWJ (16.85 peratus) daripada 30.94 sen /KWJ," kata Ongkili.

Beliau berkata peningkatan itu melibatkan empat komponen termasuk kesan penyelarasan harga gas domestik daripada RM13.70 juta MMBtu kepada RM15.20/MMBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 1.52 peratus atau 0.51 sen/KWJ.   
Ini juga melibatkan kesan penetapan harga gas asli cecair (LNG) yang diimport pada harga RM41.68/mmBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 10.17 peratus atau 3.41 sen KWJ," katanya.

Selain itu, Ongkili berkata ia juga disebabkan oleh penyelarasan harga arang batu daripada AS$85 metrik tan kepada AS$87.5 metrik tan ke atas tarif elektrik sebanyak 0.51 peratus atau 0.17 sen/KWJ.

"Semakan tarif asas TNB itu melibatkan kenaikan sebanyak 2.69 peratus atau 0.90 sen KWJ daripada kadar purata tarif semasa. Tarif asas tenaga ini akan dikawal selia melalui mekanisme insentif berasaskan peraturan (IBR) oleh Suruhanjaya Tenaga.

Bagi mengukuhkan kewangan negara dan ke arah penetapan harga gas berasaskan mekanisme harga pasaran, usaha rasionalisasi subsidi merupakan langkah yang perlu diteruskan oleh kerajaan," kata Ongkili.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan syarikat utiliti mampu menampung peningkatan kos pembekalan elektrik dan mempertingkat pelaburan untuk menyediakan infrastruktur dan operasi pembekalan elektrik yang lebih baik.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2