Cari Tajuk Yang Di Cari

Ahad, 1 Disember 2013

PANAS!!!! SPR SENDIRI DEDAH KELEMAHAN SENDIRI!!

SHAH ALAM - Penggunaan dakwat kekal, tempoh rasmi berkempen dan proses pengiraan undi, antara perkara yang dikenalpasti terdapat kelemahan pada proses pilihan raya umum ke 13 yang lalu. Selain itu lima kelemahan lain turut dikenalpasti untuk dilakukan penambahbaikan menjelang PRU akan datang.

SPR dalam Laporan 'Post Mortem' PRU-13, yang dikeluarkan turut memandang serius beberapa isu yang disuarakan oleh pelbagai sumber yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Post Mortem berkenaan. Ketua Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kelemahan yang dikenalpasti itu perlu diatasi menjelang pelaksanaan pilihan raya umum akan datang. "Kita telah selesai mengadakan Mesyuarat Post Mortem bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di seluruh negara yang melibatkan 222 Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan 505 Bahagian Pilihan Raya Negeri tidak termasuk 71 Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak memandangkan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak telah diadakan pada 16 April 2011," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar secara serentak mengikut negeri pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan mulai 19 Jun 2013 dan berakhir pada 15 Julai 2013 turut melibatkan Ahli-Ahli Panel SPR, Pegawai-pegawai Kanan Urus Setia Ibu Pejabat, Pengarah-pengarah dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus, Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), wakil-wakil Ketua Tempat Mengundi dan Penyelia Pusat Mengundi serta wakil pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut negeri masing-masing.

 Katanya, di samping membincangkan mengenai isu dan masalah, Mesyuarat juga turut membincangkan mengenai cadangan penambahbaikan kepada setiap isu dan masalah yang dibangkitkan. "Kita telah mengadakan satu perbincangan melibatkan pegawai-pegawai kanan di ibu pejabat SPR dan pengarah-pengarah negeri untuk membincang dan mencadangkan penambahbaikan kepada kelemahan-kelemahan itu. "Di pihak SPR, kita sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan daripada mana-mana pihak dan komited untuk membuat penambahbaikan.

Ia bagi memastikan pengurusan dan proses pilihan raya dapat dijalankan dengan teratur dan lancar berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

* Kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti dan penambahbaikan yang dicadangkan:

 1. Latihan dan taklimat kepada petugas-petugas pilihan raya Latihan adalah terlalu awal dari tarikh pilihan raya, latihan dalam kumpulan yang besar, kurangnya latihan berbentuk amali terutamanya berkaitan pengisian borang-borang pilihan raya, perubahan proses dan prosedur serta undang-undang.

Penambahbaikan yang dicadangkan: Mengadakan latihan dalam kumpulan kecil dan memberi penekanan kepada latih amal terutama kepada pengisian borang-borang pilihan raya, iaitu Borang 13 (Penyata Kertas Undi) dan Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi). Kaedah latihan seperti itu telah dilaksanakan dalam latihan kepada petugas-petugas pilihan raya semasa pilihan raya kecil N.01 Kuala Besut di Terengganu dan N.20 Sungai Limau, Kedah. Mengenai pelaksanaan latihan terlalu awal dari tarikh pilihan raya, kebiasaanya bagi pilihan raya umum, SPR akan membuat persiapan seawal dua tahun sebelum genap tempoh hayat sesuatu penggal Dewan Rakyat. Berkaitan perubahan proses dan prosedur serta undang-undang, perhatian akan diberikan agar pindaan undang-undang dan peraturan tidak dibuat dalam tempoh yang terlalu hampir dengan pilihan raya.

 2. Hari Penamaan Calon Kesukaran Pegawai Pengurus mengesan status bermastautin kerana kebanyakan calon tidak tinggal di alamat berkenaan dan kesukaran mengesah status muflis daripada Jabatan Insolvensi.

 Cadangan penambahbaikan yang dikemukakan: SPR menyediakan panduan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menentukan status bermastautin seseorang calon. Berkenaan kesukaran mengesahkan status muflis, SPR akan berbincang dengan parti politik untuk mencari kaedah yang sesuai bagi membolehkan semakan dapat dibuat lebih awal dengan Jabatan Insolvensi.

3. Tempoh Rasmi Berkempen Kesukaran Pasukan Penguat Kuasaan Kempen Pilihan Raya ( PP-KPR) melaksanakan tugas pemantauan kerana kawasan pemantauan yang luas berbanding bilangan PP-KPR dan pasukan itu ditubuhkan mengikut Parlimen, ketidakhadiran wakil calon/parti dalam PP-KPR dan wakil calon/parti dalam PP-KPR tidak faham mengenai peranan mereka.

 Cadangan penambahbaikan: PP-KPR ditubuhkan mengikut keperluan setempat, parti politik perlu menghantar wakil calon/ parti sebagai anggota PP-KPR bagi memudahkan PP-KPR membuat keputusan ketika berhadapan dengan isu-isu tertentu mengenai aktiviti berkempen dan pemasangan bahan kempen. Wakil-wakil parti juga perlu mengikuti taklimat yang dibuat oleh SPR.

 4. Pengurusan Kertas Undi Pos Berlaku kekurangan anggota polis pengiring dari lokap ke Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya semasa pengeluaran kertas undi pos, masalah dalam sistem penandaan undi pos, kelewatan mengembalikan karung undi pos ke pusat pengiraan undi pos oleh kurier tentera/polis, pengambilan dan penghantaran sampul-sampul undi pos ke luar negara lewat dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad (PMB) kerana PMB tidak beroperasi pada hari cuti Sabtu dan Ahad, terdapat pemilih pos tidak dapat mengundi kerana Sampul Keutamaan tidak dapat diserahkan disebabkan pemilih berkenaan tiada di rumah kerana bekerja dan Sampul Keutamaan tidak boleh diwakilkan penerimaannya.

 Cadangan penambahbaikan: SPR akan membuat penyelarasan dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari segi jumlah angota polis pengiring yang diperlukan. Penyelarasan di antara SPR dengan PDRM dan Kementerian Pertahanan akan dibuat mengenai prosedur penghantaran dan penerimaan balik karung kertas undi pos yang dibuat oleh kurier polis/tentera. SPR juga akan meneliti cadangan membenarkan wakil menerima Sampul Keutamaan bagi pihak pengundi yang tiada di rumah kerana bekerja kerana peraturan yang sedia ada tidak membenarkan Sampul Keutamaan diambil oleh wakil pengundi. Mengenai isu Pos Malaysia Berhad (PMB) tidak beroperasi pada hari cuti Sabtu dan Ahad, SPR akan menyelaraskan perkara ini dengan pihak Pos Malaysia Berhad kerana dalam mesyuarat penyelarasan SPR dengan pihak PMB sebelum itu dimaklumkan bahawa PMB akan beroperasi pada hari cuti Sabtu dan Ahad untuk tujuan penghantaran kertas-kertas undi pos ke luar negara. Berkenaan sistem penandaan undi pos, SPR akan meneliti semula sistem itu dan mengkaji kaedah pelaksanaannya termasuk meneliti cadangan penandaan menggunakan sistem on-line oleh pihak Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

 5. Hari Pengundian Terlalu banyak saluran dalam satu-satu Pusat Mengundi menyebabkan pengundi bercampur antara satu tempat mengundi dengan tempat mengundi yang lain, kertas undi yang dilipat terbuka setelah dimasukkan ke dalam peti undi, kesesakan di pusat mengundi kerana barung-barung yang didirikan oleh parti-parti politik, kekurangan kemudahan kerusi roda di Pusat-pusat Mengundi, dan gangguan ejen-ejen parti di barung-barung Semakan Daftar Pemilih SPR.

Cadangan penambahbaikan: SPR akan meneliti isu terlalu banyak saluran di satu-satu Pusat Mengundi dan melihat premis-premis yang ada dalam kawasan berkenaan untuk dijadikan pusat mengundi. Ini kerana SPR telah menetapkan jumlah maksimum pengundi seramai 3,850 dengan 6 saluran mengundi. Saluran pertama seramai 350 pemilih dan diikuti saluran berikutnya maksimum 700 pemilih. Walau bagaimanapun ketetapan itu tidak dapat dilaksanakan jika tidak ada pusat mengundi yang sesuai dan berhampiran. Cadangan penambahbaikan kepada prosedur cara melipat kertas undi yang betul akan dilaksanakan dengan Kerani Pengundian melipat empat kertas undi sebelum diserahkan kepada pengundi. Bagi menambah bilangan kerusi roda di Pusat-pusat Mengundi, SPR berhasrat mendapatkan bantuan kerusi roda daripada parti-parti politik. Penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penubuhan barung-barung oleh parti politik perlu dibuat memandangkan undang-undang tidak membenarkan sebarang penubuhan barung-barung oleh parti politik pada Hari Mengundi.

6. Proses pengiraan undi Berlaku kekeliruan oleh Ketua Tempat Mengundi dalam pengisian Borang 13 dan 14, ejen parti tidak faham istilah Undi Ditolak dan Undi Rosak dan terdapat dakwaan Ketua Tempat Mengundi memutuskan undi ragu mengikut kehendak ejen-ejen parti.

Cadangan penambahbaikan: SPR akan meningkatkan latih amal dalam pengisian Borang 13 dan 14 dan kajian sedang dibuat bagi mempermudahkan pengisian borang-borang tersebut. Penekanan mengenai istilah-istilah pilihan raya akan diberikan semasa taklimat kepada ejen-ejen parti. SPR akan meneliti dan membuat penambahbaikan dalam aspek latihan dan Buku Panduan Memutus Undi Ragu bagi membantu Ketua Tempat Mengundi memutuskan undi ragu dengan lebih berkesan.

 7. Penjumlahan Rasmi Undi - Berlaku kelewatan mengumumkan keputusan pilihan raya di Pusat-pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

 Cadangan penambahbaikan: SPR perlu mengkaji prosedur mengumumkan keputusan pilihan raya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. Ini kerana kelewatan pengumuman boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara penyokong-penyokong parti yang berada di Pusat Penjumlahan itu.

 8. Dakwat Kekal Terdapat Dakwat Kekal yang terkena pada kertas undi, pelaksanaan tatacara Dakwat Kekal tidak dijelaskan dengan terperinci, Dakwat Kekal didapati hilang apabila dicuci, dan Dakwat Kekal didapati lambat kering menyebabkan terkena pada kertas undi.
Buat pertama kalinya dakwat digunakan untuk menanda jari pengundi dalam PRU Ke-13 sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab.

 Berdasarkan kepada undang-undang pilihan raya, asas utama untuk menyemak identiti pengundi dan kaedah memastikan pengundi tidak dapat mengundi lebih dari sekali ialah senarai nama di dalam Daftar Pemilih yang diguna pakai di setiap saluran/tempat mengundi pada Hari Pengundian.
Berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelbagai pihak mengenai penggunaan dakwat itu, SPR telah membuat penambahbaikan dalam kandungan bahan dakwat, kaedah penyimpanan, kaedah penandaan pada jari daripada dicalit kepada dicelup jari telunjuk kiri pengundi dan menyediakan panduan tatacara pengunaan kepada kerani pengundian.

 Penambahbaikan ini telah dilaksanakan dalam Pilihan Raya Kecil N.01 Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai 2013 dan N.20 Sungai Limau, Kedah pada 4 November 2013. Isu dari pelbagai sumber yang dibangkitkan semasa Mesyuarat Post Mortem PRU-13

 1. Isu berbeza Lokaliti Walaupun Tinggal Dalam Satu Rumah Urusan pendaftaran pemilih dibuat berdasarkan kepada alamat pada kad pengenalan seseorang pemohon. Berdasarkan kepada alamat tersebut, SPR juga akan menetapkan lokaliti seseorang pemohon yang seterusnya akan menentukan alamat pusat mengundi bagi pemohon yang berkaitan. Oleh yang demikian, seseorang pemilih hendaklah memastikan agar alamat yang digunakan pada kad pengenalan hendaklah betul dan tepat. Dengan pengwujudan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST), pendaftaran dan semakan pemilih boleh dibuat sepanjang tahun. Sekiranya pemilih mendapati berlakunya kesilapan pada maklumat pendaftaran, maka pemilih hendaklah membuat aduan kepada SPR bagi membolehkan tindakan pembetulan yang sewajarnya dibuat.

2. Pembersihan Daftar Pemilih Daftar Pemilih yang digunakan untuk PRU Ke-13 telah dikemas kini, disahkan hasil semakan rekod pemilih berkenaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), PDRM dan Kementerian Pertahanan dan seterusnya diwartakan sebelum digunakan dalam PRU itu. SPR membersihkan Daftar Pemilih dengan mengeluarkan nama pemilih yang telah hilang kelayakan sebagai pemilih seperti mereka yang telah meninggal dunia, lucut kewarganegaraan, masuk penjara atas sabitan mahkamah dan sebagainya. Pada setiap suku tahun, nama-nama mereka ini akan dipotong daripada Daftar Pemilih berasaskan maklumat yang diperoleh JPN, PDRM dan Kementerian Pertahanan. Melalui proses pembersihan, SPR juga membetulkan apa-apa kesilapan kecil seperti ejaan nama, jantina, no. kad pengenalan, lokaliti dan lain-lain berdasarkan aduan yang diterima daripada pemilih-pemilih.

 3. Isu ramai pemilih didaftarkan dalam satu alamat SPR telah menjalankan siasatan terhadap beberapa kes yang telah dilaporkan sebelum ini berkaitan isu ramai pemilih yang didaftarkan dalam satu alamat. Ini termasuklah kes di Kg. Sungai Pusu, Gombak dan Pandamaran, Klang di mana telah didapati terdapat sebilangan pemilih yang telah menggunakan satu alamat yang sama sebagai alamat surat-menyurat walaupun pada hakikatnya mereka tidak menetap di alamat berkenaan. Perkara sedemikian seringkali berlaku di kawasan-kawasan penempatan setinggan. Justeru, hasil siasatan mendapati antara alasan yang telah diberikan adalah alamat surat-menyurat yang digunakan adalah lebih mudah diakses oleh posmen.

4. Pelantikan petugas yang berjawatan dalam parti Untuk dilantik sebagai petugas-petugas pilihan raya, syarat yang ditetapkan oleh SPR ialah mereka ini bukan penyandang jawatan dalam mana-mana parti politik. Keutamaan adalah kepada orang tempatan, seboleh-bolehnya kakitangan kerajaan, berkerja di premis pusat mengundi, dan sebaik-baiknya mempunyai kemudahan pengangkutan sendiri. Pada masa akan datang, SPR akan menetapkan pengambilan petugas-petugas SPR dalam kalangan penjawat awam ini berdasarkan gred-gred tertentu bagi memudahkan kefahaman mengenai proses pilihan raya dan kepimpinan dalam kalangan petugas-petugas itu.

5. Kebebasan serta kredibiliti SPR SPR sebagai sebuah badan bebas yang menguruskan pilihan raya amat menekankan prinsip ‘bebas dan adil’. Keputusan PRU Ke-13 ataupun pilihan raya kecil selepas itu membuktikan hakikat tersebut. Melalui peti undi, rakyat selaku pengundi adalah bebas dalam membuat pilihan calon yang hendak dipilih dan seterusnya menentukan kerusi-kerusi di Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.

 Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2