Cari Tajuk Yang Di Cari

Isnin, 26 Ogos 2013

Panas!! Mufti sokong laksana hudud

Mufti sokong laksana hudud 

KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyokong sebarang usaha untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini khususnya dalam membanteras kegiatan jenayah termasuk kes tembak yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menurutnya, pelaksanaan salah satu daripada hukum- hukum ditetapkan ALLAH SWT ini bukan sahaja akan memberi jawapan kepada persoalan yang timbul sebelum ini, sebaliknya membantu mengembalikan keamanan sejagat.

“Kalau kita boleh melaksanakan hukum hudud ini, memang diyakini banyak persoalan yang dihadapi sebelum ini diatasi, kita tengok di Arab Saudi berapa peratus sahaja jenayah, paling rendah dalam dunia.

“ALLAH SWT telah memberi jaminan, kalau kita boleh laksanakan (hudud) memang kita yakin bahawa persoalan- persoalan yang kita hadapi boleh diatasi, cuma soal bagaimana untuk melaksanakan hukum hudud itu, apakah ada halangan-halangan itu persoalan yang lain, tapi kalau hudud itu sendiri memang (Allah) sudah bagi jaminan,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir selain 600 peserta yang terdiri daripada wakil- wakil jabatan, agensi, badan bukan kerajaan dan pemimpin di setiap peringkat.

Mohamad Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berhubung kesediaan kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud yang kini dalam rangka mengadakan satu Sidang Meja Bulat bagi membentuk resolusi dan cadangan untuk meneruskan perlaksanaan hukum tersebut.

Ahmad berkata, perkara itu dilakukan setelah beberapa pakar perlembagaan dan undang-undang menyatakan terdapat ruang untuk melaksanakan hukum tersebut.

Mengakui pelbagai kekeliruan timbul di sebalik usaha untuk melaksanakannya, Mohamad Shukri berkata, dalam isu tersebut, pendekatan melalui perbincangan perlu diambil bagi mengatasinya.

“Barangkali kekeliruan yang timbul begini, hudud hukum ALLAH SWT, pelaksanaan hudud ini yang harus dibincangkan, bagaimana hendak melaksanakan itu, apakah ada halangan , itu yang menjadi masalah, itu yang harus dibincangkan, bagi saya kalau dapat dilaksanakan memang saya menyokonglah,” katanya.

Sementara itu, mengulas fenomena semasa apabila sebahagian masyarakat tetap mempertikaikan fatwa dikeluarkan, Mohamad Shukri berkata, perkara itu berlaku apabila wujud krisis keyakinan dalam diri individu terlibat.

“Kita perlu kepada satu pendidikan yang lebih menyeluruh sehingga masyarakat boleh kembali kepada keyakinan, jika individu itu tidak ada krisis (keyakinan) dia boleh terima sahaja.

“Tetapi bila ada krisis mereka memerlukan kepada huraian yang kadangkala tidak difahami kaedah- kaedah yang kita gunakan kerana mereka tidak pernah belajar untuk memahami kaedah tersebut,” katanya.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2