• Mohd Amar
        
KOTA BHARU - Pas Kelantan tidak akan melindungi mana-mana ahli parti mahupun pimpinan yang betul-betul didapati terlibat dengan fahaman Syiah.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, mereka sedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap individu yang dikaitkan dengan Syiah.

“Jika ada bukti dan memang terdapat ahli Pas terlibat kita tidak akan halang pihak berkuasa menjalankan siasatan. Orang yang menuduh itu ramai, tetapi secara rasminya setakat ini tidak ada individu mengaku dia Syiah dan kita tiada bukti konkrit,” katanya, semalam.

Beliau mengulas pendedahan pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Kamil Abd Majid yang menyatakan terdapat calon yang menang dalam PRU13 terlibat dengan ajaran Syiah.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat ahli-ahli Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak Dan Gas Ke Kelantan (Royalti) diketuai presidennya, Nazeri Deraman.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bertegas, walaupun kenyataan tersebut tidak secara terus merujuk kepada Pas negeri, namun pihaknya tidak melenting dengan dakwaan itu, sebaliknya membuka laluan kepada pihak berkaitan untuk siasatan.

Sinar Harian