Cari Tajuk Yang Di Cari

Rabu, 27 November 2013

Gempak!! Malaysia Di Ambang Bangkrap.

Hutang Negara : Malaysia Di Ambang Bangkrap

Membaca laporan melalui akhbar portal berita Malaysiakini, saya amat tertarik dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan hari ini (25 November 2013) di Parlimen yang menyatakan bahawa kadar hutang negara telah meningkat kepada 53.6 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir September tahun ini. Menurutnya, hutang negara kini berjumlah RM529.6 bilion, satu angka yang disifatkannya sebagai masih lagi dalam keadaan terkawal.

Saya menyifatkan angka ini sebagai satu angka yang amat menggerunkan kita semua rakyat Malaysia. Perlu diingatkan bahawa, sekiranya angka hutang melebihi kadar 55 peratus berbanding KDNK, ia telah melebihi angka maksimum yang ditetapkan oleh Akta Pinjaman Tempatan (1959) yang mengehadkan hutang negara pada had siling 55 peratus. Jika ia berlaku, negara sebenarnya sudah di ambang bangkrap!
Lebih membimbangkan apabila Ahmad Maslan di dalam masa yang sama menyatakan bahawa kerajaan turut menjamin sebanyak RM147.3 bilion pinjaman yang dibuat badan berkanun dan syarikat kerajaan. Namun katanya, jaminan ini yang dikelaskan sebagai tanggungan tidak langsung, tidak dikira dalam hutang kerajaan.

Saya menyifatkan kenyataan ini tidak lebih hanyalah ‘off balance sheet financing’ iaitu menyembunyikan pendedahan penuh hutang kerajaan kepada umum. Jaminan kerajaan sekalipun pada asasnya bukan merupakan hutang tetapi pada hakikatnya ia telah menjadi tanggungan yang perlu dilangsaikan oleh kerajaan jika ia gagal dilunaskan. Sebagai contoh, jaminan kerajaan untuk projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bernilai RM3.6 bilion telah mengakibatkan kerajaan pusat terpaksa menambah sekurang-kurangnya RM4.6 bilion dalam bentuk pinjaman untuk menyelamatkan secara bail out projek tersebut. Kosnya dikatakan telah meningkat sehingga RM12.5 bilion. Hakikatnya, jika dijumlahkan hutang kerajaan sebanyak RM529.6 billion dengan jaminan kerajaan berjumlah RM147.3 billion, ia akan membentuk jumlah sebanyak RM676.9 billion yang sebenarnya merupakan 68.5 peratus daripada KDNK!

Saya ingin mengajak semua pihak melihat senario ini sebagai satu senario yang amat membimbangkan. Gaya perbelanjaan dan amalan berhutang yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia sebenarnya sedang berada di tahap yang amat parah dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Sebagai perbandingan pada tahun 2007 jumlah hutang negara hanya RM266.72 billion yang membentuk nisbah 41.58 peratus dari KDNK (pada masa itu RM641.499 billion). Ia terus meningkat pada 2008 di mana angka hutang ialahRM306.386 billion iaitu 41.37 peratus dari KDNK (RM740.721 billion). Ia menjadi-jadi di zaman pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri sehinggalah ke hari ini di mana angka hutang yang diisytiharkan ialah RM529.6 billion iaitu 53.6 peratus jika dinisbahkan dengan KDNK.

Kerajaan Barisan Nasional sering berdolak dalih tentang bahawa kerajaan perlu berjimat dan selalunya yang akan dikorbankan adalah subsidi kepada rakyat. Apabila ingin berjimat perkara pertama yang akan dipotong adalah subsidi kepada rakyat. Kerajaan tidak pernah berbicara tentang pembaziran puluhan billion tiap-tiap tahun dan bagaimana kerajaan seringkali terlebih belanja (overspent). Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa akibat pemotongan subsidi. Hutang kerajaan terus juga meningkat saban tahun.

Projek gagal seperti PKFZ, NFC, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan. Kesudahannya rakyat (pembayar cukai) juga yang terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang akibat projek-projek mega yang gagal dan 'projek' bail-out kroni.

Saya mengajak rakyat Malaysia keseluruhannya agar menyedari ke mana hala tuju ekonomi yang sedang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kita tidak mahu Malaysia mengikut jejak negara Eropah seperti Greece, Spain dan Ireland yang merudum ekonominya dek kerana hutang yang melampau. UMNO dan Barisan Nasional sememangnya tidak akan berpisah daripada pembaziran dan penyalahgunaan wang rakyat. Amalan ini wajib dihentikan. Dalam hal ini, Najib tidak perlu menggunakan lilin untuk meraikan tetamu, cukup sekadar mendisiplinkan dirinya, ahli keluarganya (termasuk isterinya) serta kerajaannya dari menjadikan harta kerajaan sebagai milik peribadi.

Persoalannya, setelah UMNO dan pembaziran menjadi sebati, mampukah mereka melakukan demikian? Salam 1Malaysia.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Bertarikh : 25 November 2013

* penulis merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang juga Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2