Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 14 November 2013

Warga KL tolak kenaikan cukai, masa depan politik BN makin gelap


Harga hartanah di Kuala Lumpur yang melambung mendorong DBKL menaikkan cukai pintu berlipat kali ganda. Gambar fail.Harga hartanah di Kuala Lumpur yang melambung mendorong DBKL menaikkan cukai pintu berlipat kali ganda. Gambar fail.























Tanya Robert Quah mengenai cadangan kenaikan 100% cukai pintu bagi pemilik rumah di Kuala Lumpur dan ini akan menaikkan kemarahannya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seputeh itu percaya kenaikan itu akan menjadi punca kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Beliau tidak berseorangan.  Wakil persatuan penduduk lain turut marah dengan kenaikan cukai pintu yang diumumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui notis diterima sejak minggu lalu.
Kenaikan cukai pintu di Kuala Lumpur terakhir adalah 21 tahun lalu.

Menurut satu laporan dalam The Star tahun lalu, jumlah hartanah yang menjadi penempatan di Kuala Lumpur berjumlah 1.77 juta unit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam mempertahankan kenaikan cukai pintu dengan berkata, harga hartanah di Kuala Lumpur juga sudah melambung tinggi.
“Jika sebuah rumah dahulunya berharga RM80,000 dan kini berharga RM700,000, tetapi harga cukai pintu masih lagi rendah, apa yang seharusnya kita lakukan,” katanya di Parlimen semalam.
Quah tidak dapat diyakinkan dengan alasan Tengku Adnan.

“Kenaikan adalah melampau,” katanya dan menambah bagi rumah teres di Taman Seputeh, harga cukai pintu meningkat daripada RM9,000 kepada RM18,000. Di Kepong, sesetengah pemilik rumah kos rendah mengatakan kenaikan sebanyak 267%.

“DBKL hantar surat kepada kami mengatakan kami mempunyai 12 hari untuk bantah,” katanya.
Wakil persatuan penduduk yang lantang itu tidak berhenti setakat itu, beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak senyap tentang kenaikan kos kehidupan yang membebankan golongan kelas menengah.

“PM terlalu senyap sedangkan beliaulah di belakang semua ini,” kata Quah dan menambah ini boleh menyebabkan rakyat berdemonstrasi di jalan raya jika kerajaan tidak bertindak untuk menghentikan kekejaman ini.

Katanya, lebih menyakitkan hati adalah alasan yang diberikan untuk kenaikan itu.
Quah berkata, apabila penduduk Taman Seputeh pergi ke DBKL untuk mendapatkan penjelasan tentang bagaimana kadar baru cukai pintu dikira, beliau diberitahu “kenaikan sudah tidak dilakukan selama bertahun-tahun.”

“Ini adalah penjelasan mereka. Dari mana mereka boleh dapat duit lagi,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk Mumtaz Ali juga mempersoalkan mengapa DBKL menaikkan kadar cukai pintu tanpa berbincang dengan penduduk terlebih dahulu.
“Mengapa mereka menolak slogan PM agar ‘rakyat didahulukan’?

“Mereka tidak pernah berbincang dengan kami. Apa yang kami ingin tahu ialah adakah mereka sudah memperbaiki perkhidmatan mereka,” katanya.

Katanya, penduduk Bukit Bandaraya menderita apabila lebih banyak kelulusan diberikan kepada aktiviti komersial di kawasan mereka, dan pihak berkuasa tempatan mengatakan ia akan menambah nilai kepada kawasan kejiranan itu.

Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Prem Kumar Nair, berkata kenaikan cukai pintu ini tidak akan menggembirakan penduduk apatah lagi baru-baru ini kerajaan mengumumkan pengenalan cukai barangan dan perkidmatan (GST), penghapusan subsidi gula dan pemotongan subsidi minyak.

“Kerajaan mesti terlebih dahulu menyelesaikan isu ketirisan dan mengambil langkah penjimatan kerana kami tahu agensi kerajaan membayar dengan harga lebih tinggi kepada pembekal.

“DBKL mempunyai banyak wang dalam simpanan mereka. Jadi mereka harus menyelesaikan isu pembaziran dan ketirisan berbanding meminta kami bayar labih,” katanya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Desa Aman, Koh Guan Swee, berkata rakyat dibebankan dengan kenaikan kos dan ini bukanlah masa sesuai untuk menaikkan cukai kerana gaji orang ramai masih berada di tahap sama.
“Ini bukan masa sesuai untuk menaikkan harga semua benda sehingga kerajaan berjumpa dengan cara untuk memperbaiki pendapatan golongan kelas menengah dan golongan kelas menengah bawah yang menderita dengan kenaikan kos kehidupan,” katanya.

Koh berkata, graduan yang baru mendapat kerja hanya menerima gaji sekitar RM2,000 sebulan dan ini tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur tanpa bantuan ibu bapa mereka - turut terseksa untuk membayar pelbagai bil.

Beliau juga menyelar DBKL kerana mahu meningkatkan kadar cukai dan pada masa sama perkhidmatan mereka tidak pernah diperbaiki.

Prem berkata: “Bolehkah mereka mewajarkan bahawa mereka sudah melakukan sebaiknya untuk menyelesaikan masalah kesesakan di ibu kota dan cuba untuk menurunkan kadar jenayah?
“Apakah mereka sudah membina lebih banyak laluan pejalan kaki agar orang ramai selamat daripada peragut,” katanya.

Quah bagaimanapun menambah kenaikan kadar cukai pintu baru itu tidak akan boleh diwajarkan.
“Jika kenaikan 5 hingga 10%, ia wajar, tetapi mereka menaikkan lebih daripada 1005,” katanya.
“Ini seperti ditikam daripada belakang,” katanya dan menambah beliau sudah menubuhkan jawatankuasa yang akan mengeluarkan surat bantahan kepada DBKL.

Mumtaz berkata, kebanyakan pemilik rumah di Bangsar berada di penghujung usia dan mereka sudah pasti tidak mampu untuk membayar kadar cukai tinggi.
Mereka juga menuntut DBKL berbincang dengan penduduk terlebih dahulu berbanding memaksakan kadar cukai baru kepada pemilik rumah.

Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, kenaikan cukai pintu ini akan memberikan kesan “domino” yang akan menjejaskan kebanyakan pemilik rumah dan penyewa.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, berkata: “Sudah tentu pemilik rumah akan menaikkan harga sewa dan ini akan membebankan penyewa.”

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mencabar Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menyelesaikan masalah itu dengan membandingkan perkhidmatannya dengan bekas Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

 “Beliau (Ahmad Fuad) sentiasa berjaya menaikkan keuntungan DBKL tanpa perlu menaikkan cukai pintu,” katanya. – 14 November, 2013.

TheMalaysiaInsider
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2