Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Shahidan Kassim hari ini mendedahkan terdapat kumpulan samseng
(gangster) yang cuba mensabotaj operasi kerajaan membanteras penerokaan
tanah secara haram melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) di situ.
Menurut beliau, oleh kerana kehadiran
polis dan tentera gangster terbabit tidak berani mengancam secara
langsung, sebaliknya bertindak mengugut penduduk di Cameron Highland
agar tidak menyewakan jentera atau peralatan keperluan logistik yang
diperlukan MKN.
“Antara halangan yang kami hadapi di
samping halangan dalaman, MKN tidak bagitahu lagi, halangan berbentuk
gangsterisme di mana kami hendak sewa (jentera) mereka (penduduk) tidak
mahu (sewakan).
“Kami cuma dapat dua buah jentera untuk merobohkan premis-premis haram ini.
“Dua buah jentolak dengan 200 orang tentera, apa cerita ini. Yang lain kena tengok sahajalah.
“Jentolak di sana (Cameron) mungkin ada
beratus tetapi orang tidak bagi sewa kerana gangster telah bagi amaran
jangan sewa kepada kerajaan dan mereka tidak sewa,” katanya dalam satu
sidang media di sini.
Bagaimanapun, kata Shahidan kumpulan gangster terbabit telah melarikan diri selepas memberi amaran kepada penduduk.
Usaha memburu mereka sedang dijalankan dan kerajaan akan bertindak tegas tanpa mengira latar belakang mereka.
Bagi mengatasi kekurangan jentera, kata
Shahidan, pihaknya sedang berusaha untuk menyewa jentera dari bawah
untuk dihantar ke tanah tinggi itu.
Shahidan bagaimanapun tidak menyentuh
mengenai kemungkinan jentera milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh
dikerah ke kawasan operasi di Cameron Highlands.
“Saya menghadapi masalah di Cameron Highland, sudah seminggu kita buat operasi baru selesai satu kebun.
“Bayangkan dengan cara begini, tiga tahun tidak selesai masalah di Cameron.
“Sekarang kita ambil pendekatan baru yang
telah kita laksanakan kelmarin, saya percaya dalam masa enam bulan
habis operasi,” katanya.
Shahidan turut memaklumkan, sebaik
selesai operasi di Cameron Highland, operasi pihaknya akan beralih ke
Lojing, Kelantan yang juga telah diteroka malah lebih teruk daripada di
Cameron Highland.
Jelas Shahidan, kerajaan negeri Kelantan
telah mengeluarkan geran bagi 5,000 hektar tanah kepada individu warga
tempatan yang kemudiannya telah disewakan kepada orang asing.
“Orang asing ini pula teroka tanah tanam sayur sampai kubur orang asli pun dia korek.
“Sebelum ini ada permintaan daripada
kerajaan negeri Kelantan supaya kerajaan Pusat campurtangan, lama sudah
masa itu sudah teruk, sekarang ini hancur.
“Kerajaan Kelantan ada bagi individu
tertentu ada yang haram ada yang halal tetapi yang halal pun buat kerja
tidak betul, mereka potong bukit tidak ikut peraturan yang telah
ditentukan oleh Kementerian Pertanian,” kata Shahidan yang kecewa dengan
keadaan itu.
the rakyat post