KEHADIRAN penyerang terbanyak Liga Super, Paulo Rangel bersama Terengganu dilihat tepat pada masanya dalam memperkuatkan kembali jentera serangan skuad Penyu bagi mengharungi saingan kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Malah lebih menyakinan apabila bekas penyerang Selangor itu juga mempunyai misi yang sama dengan pasukan baharunya (Terengganu ) untuk menjulang salah satu piala dalam kempen Liga M nanti dan berhasrat mengulangi kejayaannya sebagai penjaring terbanyak sepertimana dibuktikan ketika menyarung jersi Selangor musim ini.
HARAP SOKONGAN
Baginya, apa yang lebih penting dia masih berpeluang untuk beraksi dalam kempen Liga M musim depan dan selaku pemain bola profesional, jersi mana yang disarungnya bukan sesuatu perkara yang perlu dipersoalkan sebaliknya menjanjikan corak permainan terbaik setiap kali khidmatnya ditagih di atas padang.
Malah pemain berusia 29 tahun itu, turut mengharapkan sokongan padu daripada penyokong setia skuad Penyu kerana mengakui kehadiran pemain ke-12 itu mampu memberikan suntikan semangat buat pemain setiap kali turun beraksi bertemu pasukan lawan.
SELESAI MASALAH
Rangel yang menyarung jersi keramat ‘hitam putih’ selama dua musim itu juga mengakui dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan baharunya memandangkan sudah beberapa kali bermain menentang Terengganu dan mengakui skuad Penyu adalah antara pencabar utama dalam Liga M.
Dia juga perasaan gembira dan teruja kerana Terengganu memberi peluang kepadanya menyarung jersi skuad Penyu musim depan dan menjanjikan aksi bertenaga dengan memberikan kerjasama penuh kepada rakan sepasukan bagi memastikan Terengganu lebih
garang musim depan.
Pastinya dengan gandingan peledak baharu pasukan dan pemain tempatan, Terengganu bakal menamatkan kebuntuan jaringan sebagaimana dihadapi musim ini sekali gus menyemarakkan lagi saingan Liga M yang dijangka lebih kompetitif.
TINDAKAN TEPAT
Bagi pengendali skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim memuji perubahan drastik dilakukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan mengikat pemain yang berkualiti bagi memperkuatkan pasukan.
Menurutnya, persiapan musim keduanya membimbing Terengganu menampakkan sedikit perubahan setelah menemui kegagalan dari segi pengambilan pemain import sehinggakan menjejaskan prestasi pasukan.
Apa pun bekas ketua jurulatih kebangsaan itu nyata gembira apabila Terengganu berjaya mendapatkan pemain yang berpengalaman, berkemahiran dan mempunyai penyudah yang baik di depan gawang lawan.
Malah dia turut mengakui kehadiran Rangel dan gandingan pemain sedia ada bakal merubah senario bola sepak Terengganu musim depan.
Selain Rangel, Terengganu turut menggunakan dua lagi khidmat pemain import baharu iaitu penyerang kelahiran Argentina, Gustavo Lopez dan pemain kebangsaan Lubnan, Hassan Moni Chaito bagi menggisi kuota pemain import Asia.
Sinar Harian.