Cari Tajuk Yang Di Cari

Selasa, 23 Disember 2014

Waspada jerat penipuan kutu emas

Individu dakwa menjadi mangsa penipuan kutu emas buat laporan di Balai Polis Temerloh, semalam.

TEMERLOH - Seramai tujuh mangsa penipuan pelaburan emas menggunakan sistem penggiliran membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang menganjurkan pelaburan tersebut, di sini semalam.

Kesemua pelabur mendakwa tidak menerima barang kemas dijanjikan penganjur yang dikenali melalui laman sosial Facebook (FB).

Salah seorang mangsa Marina Abdul Jamai, 37, berkata, dia mengetahui mengenai pelaburan itu pada Mac lalu dan tertarik apabila dimaklumkan pelaburan menggunakan sistem kutu tersebut membolehkannya memiliki emas tulen setelah tiba gilirannya.

Menurutnya, dia kemudian memasukkan wang tunai seperti dijanjikan di sebuah bank di Jengka sejak April hingga September 2014 berjumlah keseluruhan RM720.

“Sepatutnya saya terima barangan kemas itu pada September lalu, tapi sampai sekarang belum dapat. Apabila saya hubungi pemilik akaun berkenaan, dia beri macam-macam alasan,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Temerloh, semalam.

Seorang lagi mangsa, Farnida Mohamed Norawi, 39, berkata, dia mengenali pemilik akaun FB itu sejak Mac lalu melalui seorang kawan yang terlibat sama melabur.

Menurutnya, selepas beberapa bulan, dia mengambil keputusan menyertai pelaburan tersebut dengan bayaran RM100 setiap bulan.

“Pada awal pelaburan, saya dapatkan maklumat lengkap mengenai penganjur dan hanya mula melabur pada Ogos 2014. Apabila ingin melabur untuk bulan keempat, saya dapat maklumat dalam laman sosial mengenai pelabur terdahulu masih belum menerima barangan kemas seperti yang dijanjikan.

“Saya ambil keputusan menarik diri daripada skim itu dan cuba pujuk penganjur pulangkan duit saya... Tapi, selepas dia berikan pelbagai alasan, saya hanya menerima kembali RM200,” katanya.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan terdapat ramai individu yang turut menjadi mangsa penipuan penganjur berkenaan.

"Selain kumpulan kutu yang saya sertai, ada 20 lagi kumpulan lain dari seluruh negara menjadi mangsa penganjur yang sama. Ini bukan lagi soal wang sikit atau banyak... kalau kami tak buat laporan polis, kami bimbang ramai lagi akan jadi mangsa pelaburan kutu emas ini,” katanya.

Sementara, Aspa Zaida Saidin, 25, yang juga mangsa penipuan pelaburan ini berkata, dia sepatutnya menerima barangan kemas mengikut giliran kutu pada Oktober lalu, namun sehingga kini masihk menerimanya hingga dia kerugian RM500.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2