Apabila seseorang sudah berhijrah tidak perlu lagi dipersoalkan sebaliknya ucapkan tahniah dan iringi doa kerana individu itu telah memperbaiki personaliti mereka ke arah menjadi insan yang lebih baik, itu pandangan Penyampai Radio Hot FM, Fara Fauzana.
Fara, 34, yang kini telah berhijab sejak
tujuh bulan lalu berkata, beliau sukar untuk menjawab pertanyaan
berhubung perubahan imejnya jika diajukan wartawan dan peminat.
“Apabila seseorang itu telah berhijrah
dan memenuhi imej yang sepatutnya dalam hidup beragama tak perlu lagi
dia nak menjawab soalan mengapa dan kenapa perubahan itu berlaku.
“Pada saya hanya ucapan tahniah harus diberikan, untuk memastikan orang itu akan terus kekal dalam penghijrahannya.
“Saya berhijab kerana Allah SWT,” jelas Fara atau dikenali juga sebagai ‘Fafau’ ketika ditemui The Rakyat Post.
Fara yang juga pengacara rancangan
televisyen NONA berkata, sejak berhijab dia sering memohon doa agar
dirinya bertemu guru mursyid yang membawanya ke jalan yang benar
mengikut tuntutan syarak.
“Saya suka mendengar ceramah ceramah
agama. Dalam doa saya selalu minta perlindungan Allah SWT agar ilmu yang
saya cari itu tidak membawa ke jalan yang menyesatkan, mudah-mudahan
membawa saya ke jalan yang benar,” katanya.
Fara berkata, kalangan pendakwah
tempatan sebenarnya telah berjaya menyampaikan dakwah di kalangan artis
dan selebriti di negara ini dengan baik.
Sambil menjelaskan perubahan beliau juga
tiada kaitan dengan sebarang parti politik atau pertubuhan, Fara
berkata memakai hijab tidak bermakna dia akan mengehadkan hubungan yang
sudah lama terjalin dengan semua pihak yang membantu perkembangan
kariernya.
“Saya (hanya) akan mengehadkan diri saya
untuk bercakap soal agama kerana saya bukan individu yang layak untuk
membuat sebarang komen mengenai isu-isu tertentu,” ujarnya yang bimbang
ada pihak tertentu mengaitkan selebriti dan artis sepertinya dengan
pertubuhan tertentu.
Ditanya mengenai penampilan selepas berhijab, beliau mengakui perlu lebih teliti memilih pakaian yang ditaja.
“Saya bergabung dengan FF By Maganda buat pada masa ini untuk menyediakan fesyen yang bersesuaian dengan imej hijab yang akan digayakan dalam majlis.
“Saya cuba elak berpakaian ketat menampakkan bentuk tubuh,” kata Fara.
The Rakyat Post