SEREMBAN - Tidak kurang 10 saudara baharu sekitar daerah ini mendakwa kecewa dengan karenah birokrasi dihadapi mereka dalam memohon bantuan kebajikan daripada pihak berkaitan.
Menurut mereka, karenah tersebut menyebabkan mereka tidak tahu ke mana lagi harus membuat aduan dalam menghadapi masalah.
Aktivis mualaf, Mohd Suhib Mohan Abdullah, 49, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pihak tersebut menjaga dan memberi perhatian masalah dihadapi saudara baharu.
“Kebelakangan ini saya tengok pentadbiran pihak tersebut semakin tidak proaktif dan terlalu terikat dengan karenah birokrasi.
Menurutnya, ada yang terpaksa menunggu dari pagi hingga petang, malah ada yang diminta datang pada keesokan harinya bagi mengetahui status kelulusan permohonan sama ada lulus atau tidak.
"Alasan sering diterima pemohon semasa datang ke pejabat membuat permohonan bantuan ialah tiada kakitangan bertanggungjawab, cuti atau berkurusus.
“Jika ada pegawai bercuti atau berkursus, sepatutnya tempatkanlah pegawai lain untuk memproses permohonan bantuan itu. Mereka benar-benar menyulitkan golongan mualaf yang datang memohon bantuan kecemasan,” katanya di sini, semalam.
Noraishah Abdullah, 29, berkata, dia kini buntu memikirkan bagaimana dia boleh mendapatkan wang membayar tunggakan sewa rumahnya berjumlah RM600.
Dia yang tinggal sendiri selepas ditinggalkan suami berkata, dia membuat permohonan mendapatkan bantuan Khamis lalu, bagaimanapun kecewa kerana masih belum mengetahui statusnya.
“Kalau saya tidak bayar sewa selewatnya Isnin ini, saya akan dihalau keluar. Saya ada cuba minta bantuan dengan keluarga, tapi mereka minta saya keluar dahulu dari Islam. Takkanlah saya mahu buat macam itu,” katanya.
Masalah sama dihadapi Jamaludin Abdullah, 61, yang menghidap sakit jantung apabila mendakwa kebanyakan mereka dibuang keluarga selepas memilih memeluk Islam dan pihak berkenaan kini merupakan tempat bergantung.
“Tapi jika pihak tersebut pun susah untuk membantu, siapa lagi mahu tolong? Bila kami datang memohon bantuan, tolong beri jawapan yang jelas dan janganlah buat kami terlalu berharap," katanya.
Menurutnya, masalah itu mula berlaku sejak pentadbiran baru pihak berkenaan.
"Dulu bila mohon bantuan, dalam satu minit mereka terus bagi jawapan sama ada dapat atau tidak. Tapi sekarang tidak lagi,” katanya.
Sinar Harian..