YONG PENG – Sepasang warga emas berhadapan detik cemas apabila diserang penyamun di kediaman mereka, di Kampung Parit Tengah Parit Ya’ani, Yong Peng, dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam.
Anak mangsa, Hajarul Aisyah Mohd Fadhil, 26, berkata, ibunya, Zainab Tarmidi, 59, ternampak seorang lelaki memakai topeng di belakang rumah sebelum diserang lelaki berkenaan.
Katanya, ibunya sempat bergelut dengan penyamun yang cuba mengambil rantai dan barang kemas yang dipakainya.
"Ayah saya (Mohd Fadhil Sayuti, 73) yang ketika itu berada di depan rumah datang melihat kejadian sebenar selepas mendengar jeritan ibu.
“Ayah cuba bantu ibu, namun dia pula diserang dengan parang," katanya.
Menurutnya, akibat serangan berkenaan, bapanya cedera di tangan dan kepala akibat ditetak dengan parang.
Bagaimanapun, Hajarul Aisyah berkata, penyamun itu berjaya melarikan diri dan sempat merampas barang kemas milik ibunya.
“Ayah saya sekarang ada di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Dia stabil, cuma masih trauma dengan kejadian itu.
“Ibu saya pula bengkak di kepala dan lebam di muka selepas dipukul penyamun itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata, pihaknya kini sedang mencari suspek dan meminta orang ramai yang melihat individu mencurigakan agar menghubungi balai polis berdekatan.
“Pihak polis berharap mereka yang mempunyai maklumat dapat membantu menangkap suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan berkata, beliau simpati dengan perkara berlaku.
“Saya harap suspek yang menyamun warga emas ini dapat ditangkap, seterusnya dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sinar Harian.