Ahmad Shabery Cheek  
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia meminta Bernama TV (BTV) untuk membuat liputan pemilihan parti-parti politik di negara ini termasuk parti pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Shabery Cheek berkata, BTV yang beroperasi selama 24 jam perlu meningkatkan keupayaan untuk menyiarkan liputan terkini, menyeluruh dan seimbang.

"Bernama TV diminta utk memberi liputan pemilihan semua parti-parti politik. Bukan sahaja Umno, juga parti-parti lain termasuk DAP, Pas atau PKR.

"RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang lebih berkeupayaan dari segi peralatan dan modal insan tetapi terbatas dari segi "airtime" diminta membantu perkembangan ini," katanya yang dipetik dari laman Fecebooknya.

Beliau juga berkata akan mewujudkan satu saluran berita baharu yang boleh dinikmati dengan dua bahasa.

"Insya-ALLAH tak lama lagi satu lagi saluran berita lain akan diwujudkan.

"Cadangan satu saluran berita berbahasa Melayu dan satu lagi berbahasa Inggeris di bawah naungan kementerian ini akan menjadi kenyataan di era digital nanti," katanya.

Sinar Harian