Cari Tajuk Yang Di Cari

Isnin, 23 September 2013

kenyataan Tuan Guru Nik Aziz mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat

PAS mufaraqah daripada PKR? - Yasir Tamizi

Multaqa Ulama Se-Malaysia baru-baru ini menyatakan perlunya muafakat politik bersama Pakatan khususnya dengan PKR disemak semula dan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS diberikan kepada golongan ulama'. Satu kenyataan kontroversi yang mencuit sedikit pemikiran penyokong PAS dan PKR, juga Pakatan Rakyat secara amnya.

Melihat kepada kekuatan politik, PAS dengan ketumbukan jenteranya merupakan sebuah parti yang tersusun dan kuat. Mufaraqah daripada kepimpinan PKR tidak akan sama sekali melemahkan PAS. Namun, jika PAS hanya mahu bekerjasama dengan DAP, PAS harus bersedia dengan kitaran hubungan pasang surutnya yang akan berulangan, dek perbezaan pendirian yang besar antara kedua-dua buah parti tersebut.

Sebenarnya, Pakatan Rakyat adalah satu pakatan politik yang sangat bagus. Peranan PKR, DAP dan PAS dalam Pakatan adalah lebih kepada saling melengkapi, di mana PKR menerajui politik dasar, PAS menggerakkan ketumbukan jentera terbesar dan DAP menarik perhatian dan kepercayaan penyokong-penyokong baru.

Namun, jika PAS meneruskan agenda mufaraqah daripada PKR, dijangka PAS bakal kehilangan tiga golongan Islamis dalam PAS, golongan yang menjadi jambatan antara PAS dengan masyarakat.

Secara amnya, dua gerakan Islam yang berpengaruh dan besar di Malaysia, ABIM dan IKRAM (dulunya JIM), mempunyai sejarah dan hubungan yang baik dengan Ketua Umum PKR.

Rentetan program besar termasuk program yang baru-baru ini seperti, Islamic Resurgence anjuran ABIM dan Syria Is Calling anjuran IKRAM, yang melibatkan Ketua Umum PKR sebagai tokoh utama, menjadi bukti hubungan baik dan pengiktirafan antara ketiga-tiga belah pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai pemimpin yang rapat dengan gerakan Islam tempatan dan antarabangsa, mempunyai sejarah panjang dan pengaruh yang tidak boleh dipinggirkan dalam gerakan Islam di Malaysia juga Dunia.

Maka, jika PAS bermufaraqah daripada PKR, dua golongan Islamis yang punyai hubungan baik dengan Anwar, iaitu Islamis-Melayu ABIM dan Islamis-Progresif IKRAM, yang sebelum ini menyokong PAS, berkemungkinan meninggalkan PAS, bersama-sama dengan golongan Islamis bukan ustaz di dalam PAS, yang biasanya dilabel sebagai Erdogan, sepertimana kemuncak pertembungan Erdogan-Erbakan dalam sejarah gerakan Islam di Turki.

Walaubagaimanapun, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang mengulangi pendirian mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat, telah meredakan sedikit kocakan dalam hubungan antara parti-parti komponen Pakatan, khususnya PKR dan PAS.

Saya kira, PAS sudah cukup matang untuk membuat congakan politik yang sewajarnya dalam penilaian semula muafakat politik dengan PKR. Semestinya dalam politik, hasil congakan politik akan diterjemah kepada kiraan untung-rugi dan kalah-menang dalam meraih sokongan rakyat. Semoga, kebijaksanaan memandu perkiraan politik PAS. – 23 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2