Cari Tajuk Yang Di Cari

Isnin, 16 September 2013

PANAS!! ISU TAHALUF SIYASI: Haram Untuk Menentang Keputusan Muktamar


Kaji semula hubungan dengan PKR, cadang ulama PAS

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dibuatnya dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Cadangan itu dikemukakan beliau melalui ucaptama kepada Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar kelmarin.

Hampir 1,000 pemimpin PAS di kalangan ulama menyertai perhimpunan yang diadakan menjelang muktamar PAS ke 59 22 November depan di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, tiga muktamar PAS berturut-turut meluluskan usul agar hubungan dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan.

Dalam pilihan raya lalu PAS menang 21 kerusi Parlimen dan hilang kerajaan negeri Kedah berbanding PRU-12 menang 23 kerusi Parlimen dan menang di Kedah.

Bagi melaksanakan kajian ini Harun dalam kertasnya itu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," kata Harun. -TMI

Resolusi Multaqa Ulama usaha perkukuhkan PR


KOTA BHARU: Cadangan Multaqa Ulama Se-Malaysia yang mahu tahaluf siyasi bersama PKR disemak semula disifat sebagai usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR).

Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, keputusan itu dianggap sebagai satu strategi bagi mewujudkan gabungan yang lebih kuat.

Veteran PAS, Subky Latiff pula menyifatkan tahaluf siyasi PAS bersama parti-parti lain bermula pada 1959, apabila PAS bekerjasama dengan Parti Negara.

“Kemudian pada 1982 PAS bersama Barisan Nasional dalam kerajaan campuran. Oleh itu tahaluf siyasi sebenarnya bukan perkara baru.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memperkukuhkan kepemimpinan ulama,” katanya pada wacana anjuran Ilham Centre di Bazar Tengku Anis malam tadi.

Resolusi Multaqa Ulama di Alor Setar semalam mencadangkan lapan perkara termasuk tahaluf siyasi bersama PKR disemak semula Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat bagi menjaga maslahah syariah.

Bekas Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Hussin juga mahu Majlis Syura Ulamak berperanan lebih berkesan bagi membantu presiden membuat sesuatu keputusan.

Katanya, Dewan Ulamak perlu meneliti semula perlembagaan parti bagi melihat kembali peranan mereka.

“Wajar sekali PAS mengadakan semula seminar membincangkan perlembagaan parti untuk membolehkan semua pihak berperanan dalam ruang lingkup ditetapkan,” katanya pada wacana tersebut.

Wacana terbabit mengupas isu “PAS Era Ulama: Impian dan Kenyataan” menampilkan bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh bertindak sebagai moderator.

Tajuk tersebut diubahsuai daripada tajuk tesis PhD, Dr Kamarulzaman Yusoff. Hadir sama pelajar PhD di UKM, Mustapha Ahmad dan pengarah program Zahari Sidek.

Resolusi Multaqa Ulamak di Kedah mengundangkan reaksi berbeza terutamanya anak-anak muda yang hadir pada wacana berkenaan.

Subky juga berkata, Dewan Ulamak tidak boleh menyalahkan pihak lain sekiranya ada masalah dalam pengurusan dewan berkenaan.

Kata Khalid pula, ulama sudah mendapat kedudukan tinggi dalam parti dengan mendominasi Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak.

ULASAN GB

GB menerima banyak email dan mesej yang meminta GB mengulas isu penyemakan semula tahaluf siyasi seperti yang disarankan oleh Ketua Dewan Ulamak, Datuk Harun Taib seperti yang dilaporkan oleh media-media tempatan (dan juga merupakan salah satu resolusi Multaqa Ulamak PAS) disamping kenyataan Ketua Dewan Pemuda yang dibuat melalui laman sosialnya.

Sebenarnya sungguh mengejutkan apabila wujud suara yang meminta supaya tahaluf siyasi PAS-PKR disemaksemula sedangkan sudah diputuskan oleh tiga muktamar PAS yang berturut-turut agar hubungan dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan.

Maka adalah TIDAK WAJAR untuk mana-mana pihak, walaupun paling tinggi macam mana sekalipun taraf ulamaknya di dalam parti boleh membelakangkan keputusan yang telah dibuat oleh MUKTAMAR.

KEPUTUSAN MUKTAMAR adalah supreme (paling tinggi) dan hanya boleh dibatalkan jika keputusan itu didapati bercanggah dengan DASAR parti dan itu pun perlu dirujuk kepada Majlis Syura PAS yang merupakan badan tertinggi parti.

Jika di dalam soal asas berorganisasi dan berjemaah sebegini pun sudah tidak dapat difahami dan dipatuhi, apatah lagi oleh dewan-dewan yang dipenuhi oleh para ulamak, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Seorang ahli PAS samada ulamak atau pun bukan ulamak perlu faham akan KEWAJIPAN untuk menghormati keputusan muktamar sekalipun keputusan itu berkemungkinan tidak disukai dan bukankah haram hukumnya untuk mengambil keputusan yang bertentangan dengan keputusan muktamar? Jika tidak apa gunanya bermuktamar?

Takkan di dalam yang paling basic sebegini pun para ulamak PAS tidak faham? Resolusi yang dikeluarkan sungguh memalukan status mereka sebagai ulamak dan jangan terperanjat lebih ramai nanti yang tidak menghormati ulamak PAS kerana tidak faham tatacara berorganisasi.

Jawapan daripada dua orang pemimpin tertinggi parti, iaitu Mursyidul Am dan Presiden agak melegakan dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.
- TG Nik Aziz

PAS tetap bersama dalam Pakatan Rakyat

ALOR SETAR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulamak Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri, kita masih tetap bersama.

"Insya Allah itulah yang ada dalam amalan poltik Islam. PAS paling berpengalaman sejak 1951,”
ujarnya.

Tegasnya, PAS bertahaluf menuntut kemerdekaaan walau berbeza pandangan dengan Umno dan kemudiannya PAS menjadi pembangkang.

Katanya, PAS juga pernah masuk menjadi kerajaan pada tahun 1970 dan PAS terlibat dalam penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974.

“Tahun 1978 kita dikeluarkan kerana krisis di Kelantan, bila kerajaan campurtangan dengan membuat darurat macam di Mesir sekarang, mereka ambil alih kerajaan.

“Kita ambil balik pada tahun 1990 bila kita bersama Semangat 46 pula,"jelasnya.
-HD

Greenboc
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2