Hasim Rusdi
Hasim Rusdi
    Pas perlu buka mata'
SEREMBAN – Pas sememangnya wajar mengkaji secara mendalam kerjasama politik atau Tahaaluf siyaasi antara parti itu dengan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi berkata, Pas perlu membuka mata melihat sejauh mana parti itu mampu bertahan dalam PR kerana ketiga-tiga parti itu sebenarnya tidak mempunyai ideologi politik yang sama.

“Kita tidak perlu menjadi ‘gula-gula’ terutama kepada DAP. DAP sebenarnya mahu memperguna Pas bagi memperluaskan pengaruhnya di kawasan luar bandar memandangkan pengaruh mereka sudah kuat di kawasan bandar.

“Yang rugi adalah Pas dan situasi inilah yang seharusnya perlu dilihat Pas sejak awal pergabungan dalam PR lagi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hasim berpendapat, adalah lebih baik Pas bergabung dengan Umno bagi bersama-sama membela serta memperkukuhkan orang Melayu.

“Saya tidak menyentuh akan soal perkauman tetapi sewajarnya langkah itu perlu dilihat kesan positifnya apabila dua parti besar bergabung iaitu Umno dan Pas, sudah tentu ia akan mampu memperkuatkan lagi orang Melayu di negara ini.

“Umno sedia membuka pintu untuk Pas kerana kita adalah parti berlatar belakangkan orang Melayu," katanya.

Hasim juga berpendapat, Pas perlu menyatakan pendirian demi mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka tanpa bergantung dengan parti lain.

"Dalam PR, tidak nampak kerjasama terjalin sesama mereka biarpun ketiga-tiga parti itu sering melaungkan wujudnya kesepakatan. Tetapi secara hakikatnya, ia jelas tidak nampak keserasian langsung antara mereka,” katanya.

Sinar Harian