KOTA BHARU- Ketika sesetengah pihak menggesa Pas mengkaji semula tahaaluf siyaasi antara parti itu bersama sekutunya dalam pakatan pembangkang, lain pula pandangan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid) berhubung perkara itu.
 
Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, jika dilihat daripada aspek pengembangan ilmu, tahaaluf siyaasi (persefahaman politik) ini sangat membantu dan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Jika sebelum ini, ketika masih di peringkat awal Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri atau sewaktu kali pertama mereka (PKR, Pas dan DAP) bersama, tidak banyak masalah yang timbul, tetapi setelah beberapa tahun duduk bersama, mula wujud
suara- suara kononnya lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

Tapi pada pandangan saya secara peribadi, di Selangor, dari sudut pengembangan ilmu- ilmu Islam di kawasan Lembah Klang, ia sangat baik dan Pakatan Rakyat sangat membantu, berbanding sebelum ini, apabila sebahagian surau dan masjid terpaksa digari, dimangga dan sebagainya,” katanya pada program Bual Bicara Bersama Facebookers di sini, semalam.

Program dikendalikan Penganalisis Politik dan Penulis Buku Kemenangan Yang Tertangguh, Hasbie Muda turut disertai Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, serta Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Beliau yang juga ahli panel pada program tersebut berkata, pengembangan ilmu Islam bukan sahaja mampu memperbaiki segala kekurangan secara domino, malah menghindari orang ramai terhadap melakukan penyelewengan dan kezaliman.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, tahaaluf siyaasi mempunyai kekuatan tersendiri dalam merapatkan hubungan antara Islam dan bukan Islam, tetapi jika berlaku sebaliknya (menjauhkan) ia disifatkan suatu penghinaan.

Jika akhlak yang dipersembahkan pakatan rakyat, kepada rakan-rakan bukan Islam dalam pakatan tersebut mampu merapatkan hubungan antara Islam dan bukan Islam serta mewujudkan sangka baik antara mereka, itu sudah boleh dianggap satu
kejayaan,”
katanya.

Tahaaluf siyaasi bukan perkara baru dalam Pas, dan tidak keterlaluan jika dikatakan itulah juga isu yang menjadi kebimbangan majoriti senyap dalam parti terutama akar umbi yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

Sinar harian