Nurul Izzah 
 Nurul Izzah
SHAH ALAM - "Saya bangga dengan papa," demikian luah anak sulung Ketua Pembangkang,  Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah yang kali kedua menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai sekaligus berjaya mempertahakan kawasannya sejak PRU12 pada tahun 2008 tidak sekali-kali berputus asa walaupun pelbagai tohmahan dihadapinya, terutama bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya rasa...Alhamdulillah penggal kedua saya menang juga pada PRU lalu. Saya tidak fikir sangat perkara itu.

"Saya sentiasa bangga dengan papa, bukan sebab beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi rasa bangga kerana beliau menjadi tahanan politik yang berani dan keluarga kami terus bersatu," katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu wawancara eksklusif.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, apa yang berlaku dan setiap tohmahan yang diterima adalah pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Baginya perkara itu berguna dan bermakna dalam menongkah arus permainan politik.

"Perkara ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit kalau pangkat, kemegahan dan nama yang ada jika ALLAH nak ambil, ia akan hilang.

"Jadi pada saya, apa yang saya mampu saya terus lakukan," tambahnya.

Bagaimanapun, Nurul Izzah yang tidak lekang dengan senyuman itu berkata, "tidaklah saya kata tidak ada masa yang membuatkan kami mengalirkan air mata, memang kadang-kadang hingga tak tertahan.

"Kita bercakap tahun demi tahun, bukannya satu dua tahun," katanya ketika diminta mengimbau perasaan apabila menghadapi kutukan, cemuhan dan fitnah daripada pihak lain.

Wanita reformasi itu juga berkata, perkara pahit yang berlaku sepanjang kariernya yang banyak dikaitkan dengan bapanya telah memberikan kekuatan bukan sahaja kepada keluarga malah "keluarga besar" PKR.

"Saya rasa semua tohmahan dan fitnah yang kami hadapi dalam sebuah keluarga serta keluarga besar PKR membantu melatih keyakinan dan jati diri," katanya.

Ditanya adakah beliau akan berundur daripada bidang politik pada suatu ketika nanti, Nurul Izzah berkata, "saya suka apa yang saya buat, ia memenuhi idealisme saya.

"Apa pun kita laksanakan dengan niat untuk membantu.

"Jadi selagi diperlukan saya akan teruskan, selagi rakyat mahukan saya," jelasnya.

Sinar Harian