Seringkali saya berpesan kepada anggota Exco, mentadbir negeri ini ialah amanah daripada ALLAH SWT.

Jangan perlakukan negeri seperti hak kita anak beranak.

Jikapun kita terlepas dari proses audit di dunia, kita tidak mungkin terlepas dari proses audit di akhirat.

Di Kelantan, saya tidak pernah meletakkan kriteria seseorang itu perlu menjadi ahli Pas terlebih dahulu sebelum mendapat apa­-apa tender.

Sepanjang pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya Jambatan Lepan Pari yang berada di dalam Dun saya iaitu Chempaka pernah dianugerahkan projek pembinaannya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli Umno.

Pesaingnya yang paling dekat ialah ialah sebuat syarikat milik ahli Pas tetapi atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli Umno mendapat projek tersebut.

Pada masa itu, saya dihujani dengan pertanyaan oleh pelbagai pihak, ada yang datang merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat.

Jawapan saya ada masa itu ialah, kita berpegang kepada ketelusan.

Di Kelantan, ahli­-ahli Umno boleh "mencari makan". Tiada batasan dan tiada sekatan sekalipun di­ketahui umum sebagai se­orang ahli Umno.

Pernah projek membina loji air dianugerahkan kepada syarikat yang turut dimiliki oleh seorang pemimpin Umno yang dikhabarkan pernah menerima watikah perlantikan sebagai calon untuk bertanding di dalam PRU13 yang lepas.

Mengapa beliau akhirnya tidak bertanding dan tidak menggunakan watikah tersebut wallahualam, tetapi yang sahihnya projek yang diberikan tidak ditarik balik.

Alhamdulillah, projek-projek di bawah kendalian kerajaan Kelantan terus berjalan dengan baik dan sempurna.

Berbeza dengan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 lambat disiapkan ekoran banyak kelemahan.

Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman serta masalah reka bentuk sistem cerucuk.

Kosnya pun meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3 peratus) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.

Paling menarik, projek jambatan dengan kos sebesar itu diberikan secara runding terus dan tidak melalui tender!

Itulah gambaran kerosakan Umno sebenarnya. Melalui ketirisan projek seperti inilah, mereka boleh mencari makan.

Saya kira, tanpa peluang­-peluang seperti ini, pelampung Umno akan bocor dan akan lemas di laut politik.

Justeru, Umno sebenarnya langsung tidak layak bercakap soal telus dan jimat­ cermat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas