Jeniri Amir
Jeniri Amir                                                      
SHAH ALAM – Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat Pas tidak seharusnya berundur dari PR kerana dilihat seolah-olah menyerah kalah daripada perjuangan yang dituntut selama ini.

Menurutnya, PR kini mampu menghakis pengaruh BN dan sudah pasti parti komponen lain tidak akan menerima jika Pas keluar dari pakatan itu.

“Dalam kedudukan sekarang bukan masa yang sesuai untuk mana-mana parti dalam komponen berundur. Jika dilihat pada pilihan raya baru-baru ini, prestasi PR sememangnya lebih baik berbanding sebelumnya.

“Bagi saya adalah lebih penting jika Pas mencari cara bagaimana mengukuhkan kedudukannya dalam pakatan dan turut sama perjuangkan PR,” katanya,  semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, sudah menjadi lumrah buat sesebuah parti yang bergabung perlu bijak menyesuaikan diri sejajar dengan matlamat dan perjuangan pakatan.

“Bagaimanapun itu bukan bermakna mereka perlu menghakis semangat dan perjuangan asal parti masing-masing.

“Mereka hanya perlu mengikut kesesuaian perjuangan pakatan bukannya menggadaikan terus perjuangan asal,” katanya.
 
Sinar Harian