Salahuddin Ayub
                                              Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub                                                      
    Pemuda Pas platform lahirkan pemimpin ulama
 KUALA LUMPUR - Jika Pas inginkan jawatan nombor satu dan dua diisi golongan ulama, parti itu perlu melahirkan lebih ramai pelapis berlatarbelakangkan pendidikan agama di peringkat sayap Pemuda lagi.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menegaskan, 70 peratus kepimpinan tertinggi Pas Pusat hari ini adalah hasil tarbiyah Pemuda Pas.
Tambah beliau, usaha itu harus diteruskan jika mahu melihat Pas kekal relevan di mata generasi muda era ini.

"Pas juga perlu berubah dan lebih dinamik agar diterima rakyat, saya tidak bimbang proses mengasah bakat baru dalam Pas telah diusahakan seawal peringkat Pemuda lagi.
"Kita juga tidak ketandusan bakat baru seperti mana yang dilakukan dalam PKR untuk lahirkan tokoh muda baru, seawal usia 20-an telah didedahkan kepada dunia politik," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Dewan Ulama Pas minggu lalu yang mahukan jawatan Timbalan Presiden yang digalas oleh golongan ulama.
Tambah Salahuddin, perlembagaan Pas juga tidak mensyaratkan jawatan tertinggi parti itu diisi oleh golongan ulama kerana secara tradisi ia diwarisi oleh golongan itu sehinggalah pada 2011, keadaan sudah berubah.
"Dalam pemilihan Pas pada 2011, menyaksikan Mohamad Sabu menang dalam pemilihan itu dan hakikatnya hari ini beliau bukannya seorang ulama.

"Apa pun kita percaya dan pandangan yang zahirkan, itu hak mana-mana individu dan dewan dalam Pas untuk menyuarakan pandangan mereka," katanya sambil menyifatkan perbezaan pendapat itu tidak menyalahi perlembagaan parti.

Bagaimanapun kata beliau, suara tertinggi dalam menentukan pucuk pimpinan Pas adalah suara muktamar yang bakal berlangsung pada November depan.
 
Sinar Harian