Cari Tajuk Yang Di Cari

Sabtu, 27 Julai 2013

Ambil iktibar daripada perang Badar - Husam Musa



LENGGONG: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyeru seluruh pendukung perjuangan PAS agar mengambil pengajaran daripada peperangan Badar Kubra.

Menurutnya, peperangan tersebut mempunyai 1001 satu pengajaran yang sangat berguna dan perlu dicontohi oleh PAS dalam perjuangannya.

Kata beliau, antara perkara yang wajar menjadi contoh ialah kesatuan dan perpaduan antara para tentera perang Badar yang telah menghasilkan kejayaan kepada Islam.

Walaupun katanya pada ketika itu bilangan ahli tentera musuh jauh lebih banyak daripada tentera Islam namun disiplin yang ditunjukkan oleh tentera Islam telah menzahirkan kejayaan.

"Perang Badar mempunyai ciri-ciri siasah dan dakwah yang cukup hebat dan susunannya sangat baik, ianya perlu difahami dan dicontohi oleh para pendukung perjuangan PAS," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Badar Kubra Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Dataran Surai Ibnu Zakaria, Kampung Luat, dekat sini semalam.

Turut berucap ialah AJK PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien, Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria dan wakil Syiria, Mohammad Nizar yang dijemput khas untuk membicarakan tentang situasi terkini pergolakan di negara itu.

Tambah beliau, pendukung perjuangan PAS haruslah menjaga perpaduan sesama ahli jemaah dan ianya adalah isyarat penting untuk merealisasikan kejayaan.

Husam menjelaskan, PAS tidak akan berjaya menguasai medan perjuangan jika perpaduan sesama sendiri tidak dapat dijaga serta diharmonikan.

BN khususnya Umno katanya sentiasa berusaha memecahkan PAS dengan parti komponen dan termasuklah sesama sendiri bagi memastikan kuasa yang mereka pegang itu tidak terlepas.

"Awasi mana-mana pihak yang cuba sebarkan bibit-bibit perpecahan dan ajak mereka berbincang serta menyelesaikan secara berhemah mengikut tata tertib kaedah tarbawi dalam jemaah untuk mendisiplinkan ahli," jelasnya.

HarakahDaily
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2