Cari Tajuk Yang Di Cari

Jumaat, 5 Julai 2013

Ustaz Fadzil tiada duanya


Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pergi meninggalkan kita ketika mana parti dan negara begitu memerlukannya. Pandangan dan sentuhan politiknya cukup memukau, penuh hikmah, jauh ke depan, dan kadang-kadang agak sukar diterima penyokong dan pendokong PAS di peringkat awalnya.

Namun, Allah lebih menyayanginya. Dan kunjungan lebih 100,000 rakyat yang mencintainya ketika majlis pengkebumian adalah bukti nyata Almarhum dekat di hati rakyat. Biarpun memimpin sebuah parti Islam terulung di rantau ini, Almarhum tetap merendah diri, mudah ditemui, begitu akrab menyantuni tetamu dan membuatkan sesiapa saja yang ingin menemuinya terasa senang sekali.

Almarhum Ustaz Fadzil adalah lambang pemimpin gerakan Islam dan ketua parti politik yang bijak mengatur langkah dan memanfaatkan senario sekeliling. Biarpun menderitai sakit sejak sekian lama, namun beban tugas seharian dipikul penuh bijaksana.

Almarhum disayangi pemimpin, pendokong, aktivis dan penyokong parti. Beliau bagaikan seorang ayah yang sabar mengasuh anak-anak berdepan seribu satu gugatan. Dan muktamar PAS yang terakhir di Kota Bharu menyaksikan wajahnya penuh ceria melihat anak-anak yang diasuhnya kian matang dan teruji untuk menyahut cabaran.

Kehilangannya cukup terasa. Pemergiannya begitu meninggalkan bekas, bukan saja dalam PAS tetapi juga buat ummat sejagat. Almarhum telah meletakkan batu asas yang menjulang nama PAS ke persada perdana politik negara.

PAS di bawahnya adalah parti arus perdana yang tidak boleh dipinggirkan lagi. Dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen melakar sejarah tersendiri. Biarpun hanya baru separuh penggal, namun isu-isu yang dikemukakannya mencakupi segenap aspek dan ini mengejutkan parti lawan. PAS bukan lagi menjuarai isu-isu agama tetapi berjaya mengungkapkan segala permasalahan negara seutuhnya. Justeru, ia dihormati semua pihak, termasuk pemimpin Umno dan parti komponen BN lainnya.

Sesiapa yang mengenali Almarhum pasti tidak akan lupa bidasan tajamnya, lawak jenaka berbisanya. Seorang teman berkata, tanpa bidasan dan jenaka bermakna, itu bukan Ustaz Fadzil namanya. Dalam keras mengkritik, Almarhum menyulaminya dengan nada seloroh yang memukau. Tatapilah kembali VCD yang merakamkan ucapannya di Parlimen, bagaimana Almarhum memberi respons segera kepada gangguan ahli-ahli Parlimen Umno.

Pendekatannya sederhana, berhati-hati, tetapi meninggalkan impak berkesan. PAS bertuah kerana dapat meneruskan aspirasi perjuangan Almarhum apabila landasannya kukuh dibina sehingga pendekatan Ustaz Fadzil adalah pendekatan yang akan digunapakai PAS dalam tempoh yang agak lama.

Namun dalam kesederhanaan, Almarhum cukup tegas menghadapi pancaroba durja parti pemerintah. Berdepan larangan ceramah umum terhadap parti pembangkang, Ustaz fadzil adalah pemidato yang tidak akan menolak undangan berceramah walaupun majlis itu tidak mendapat permit polis. Di kala ramai lagi pemimpin pertengahan PAS yang mungkin teragak-agak berdepan FRU dan gas pemedih mata, Almarhum menunjukkan model teladan unggul.

Sekurang-kurangnya dua peristiwa besar politik negara berjaya ditangani dengan penuh berhikmah. Pertama, konflik dalaman Umno yang membuatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Team B terkeluar, yang membentuk Semangat 46. Pandangan jauh Ustaz Fadzil terserlah bila gagasan Angkatan Perpaduan Ummah dibentuk. Sebenarnya tidak mudah untuknya berdepan pelbagai kritikan, termasuk dari dalam parti sendiri, sebelum Angkatan dapat dibentuk.
Kedua, pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 2 September 1998. Almarhum diberitakan terus mengunjungi Anwar di rumahnya -- ketika mana Anwar masih Timbalan Presiden Umno -- tanpa merujuk terlebih dulu dengan parti. Namun kesan dua peristiwa besar itu begitu memberansangkan, sekali gus membawa PAS ke dalam aliran perdana percaturan politik negara.

Apa pun, tiada kata dapat menggambarkan kepiluan dan kekosongan ini. Sentuhan kasih sayangnya terhadap ahli-ahli parti tiada taranya. Masih tergambar bagaimana mudahnya Ustaz ditemui di gerai-gerai makan ketika muktamar PAS berlangsung oleh orang kebanyakan, dan mudahnya menyambut sapaan rakyat bawahan di mana saja.

Benar, dan benar sekali, Ustaz Fadzil adalah pemimpin berjiwa rakyat, menyelami denyut jantung kepedihan rakyat dan bersedia memberi tunjuk ajar bagi ahli-ahli parti parti mengharungi perjuangan yang masih panjang ini.

Kesederhanaan Ustaz Fadzil banyak diperkatakan bukan saja oleh pendokong jamaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan saja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakan.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun, sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani Telekom di Alor Setar, melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Ustaz Fadzil adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti ataupun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di pejabat agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang sering berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Ustaz Fadzil di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros (tapak Hospital Tawakal sekarang) di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. Kita tidak merasa terasing atau kekok meskipun baru pertama kali berdepan dengannya. Kemesraan cukup mudah berputik.

Jika menerima undangan, Almarhum pasti tidak mengecewakan meskipun dalam keadaan uzur. Misalnya, ketika saya melangsungkan majlis perkahwinan di Kampung Raja, Kubang Pasu, tahun 1991, walaupun dalam keadaan sakit dan saya langsung tidak mengharapkannya datang, namun, pada petang hari kenduri, Almarhum tiba-tiba muncul.

Wajahnya menggambarkan keuzuran yang ditanggungnya. Bersama dua tiga orang lagi dari Pejabat PAS Kedah, Ustaz Fadzil langsung terus ke dalam rumah. Rupanya untuk duduk bersila pun Almarhum tak mampu, tetapi jamuan tetap dijamahnya walaupun saya kira menu juadah pantang bagi penyakit kroniknya.

Teman rapatnya, Allahyarham Cikgu Mustafa Long menceritakan bagaimana dia dan Ustaz Fadzil menghadiri 21 kenduri di Bukit Raya -- kerusi Dun yang diwakilnya bermula pada 1982 -- dalam masa satu hari! "Ustaz, kalau nak pi lagi kenduri di Bukit Raya, tak payah ajak saya lagi, penat sungguh, tak laratr betoi," kata Cikgu Pa kepada Ustaz Fadzil, yang menyambutnya dengan gelak saja.

Mengimbas beberapa peristiwa besar yang dilalui PAS di zamannya, jelas Almarhum tidak takut untuk "bereksperimen" dan tidak gopoh berdepan kesulitan. Sememangnya dalam konteks gerakan Islam sejagat, pengalaman Malaysia adalah unik dan tersendiri jika mahu dibandingkan dengan harakah Islam yang lebih berpengalaman, misalnya Ikhwanul Muslimin di Tanah Arab ataupun Jamaat Islami di India, Pakistan.

Almarhum bijak mengatur rentak dan tempo, menggauli pengalaman dan sejarah silam, bersama rencah real politik yang serba mencabar. Sesungguhnya tidak mudah PAS mahu keluar ke persada arus perdana politik negara setelah hampir berjaya cuba dipinggirkan pada 1986, selepas hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa. Tok Guru Nik Aziz yang berpindah ke Bachok turut kecundang. Sebuah majalah di Indonesia meletakkan tajuk yang agak sinis buat PAS: “Menang satu kerusi untuk tubuh Negara Islam.”

Lebih awal dari itu, selepas Dato' Asri Muda meletakkan jawatan, tanda bermulanya era kepemimpinan ulamak, Almarhum merupakan antara arkitek utama mengemudi “PAS baru”. Pada hemat saya, seolah-olah berlaku satu revolusi dalam PAS, apabila bukan sahaja kepimpinan bertukar, tetapi penekanan dan pendekatan perjuangan, malah roh jamaah Islam itu dimantapkan dengan idealisme baru yang lebih suci. Dan tonggak utama PAS era baru ini, di belakang Yang Dipertua Agung, Almarhum Yusuf Rawa adalah Ustaz Fadzil.

Pengalamannya berdepan cabaran besar semasa mengemudi PAS Kedah juga cukup menarik, terutama dalam kes Lubuk Merbau yang mengakibatkan seorang petugas pilihan raya kecil PAS terbunuh, dan juga peristiwa berdarah Memali.

Pada 1982, Ustaz Fadzil menunjukkan hemah yang tinggi ekoran perpecahan dalam PAS. Walaupun PAS Pusat mencadangkan Almarhum menjadi Pesuruhjaya Negeri menggantikan Dato' Abu Bakar Umar (yang berada bersama Dato' Asri), Ustaz Fadzil mengunjunginya meminta mengambil semula jawatan itu. Sebaliknya Allahyarham Abu Bakar menolak dan memberi restu kepada Ustaz Fadzil sebagai pesuruhjaya baru.

Dalam kesederhanaan dan gurau sendanya, Almarhum cukup serius dengan agenda perubahan.  Saya cuba mahu mengungkapkan bagaimana beberapa pendekatannya berdepan real politik negara kadang-kadang disalah tanggap, misalnya ketika menghulur persahabatan dengan Tengku Razaleigh selepas pengharaman Umno 1988 dan episod pemecatan Anwar, sepuluh tahun selepas itu, 1998.

Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengandaikan Almarhum tidak merujuk terlebih dahulu dengan pimpinan parti ketika membuat keputusan penting, termasuk untuk menghadiri syarahan perdana isu Palestin bersama Dr Mahathir Mohamad, lebih kurang sebulan sebelum kematiannya, saya dalam diam mengharapkan agar Ustaz Fadzil lebih banyak bertindak atas kapasiti dan kebijaksanaannya sebagai Presiden. Ada kalanya, aksi-aksi politik  memerlukan langkah proaktif yang tangkas dan segera.

-----
Artikel ini pertama kali disiarkan selepas beberapa hari Ustaz Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2003.
 
HarakahDaily
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2